Mesyuarat Sulit pemimpin PH, pembangkang cetus spekulasi kerajaan baru
14:02 Feb 23, 2020  |  By SabahKini2
Mesyuarat Sulit pemimpin PH, pembangkang cetus spekulasi kerajaan baru

Mesyuarat MP PKR diketuai Azmin Ali, dihadiri Zuraida, Saifuddin Abdullah dan Datuk Mohd Rashid Hasnon cetus banyak spekulasi. Ini termasuk mesyuarat khas Bersatu dan parti pembangkang lain. Apa sebenarnya berlaku?

PETALING JAYA: Empat pemimpin tertinggi PKR menghadiri mesyuarat tertutup yang sedang berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya, mencetuskan spekulasi suatu pengumuman penting akan dibuat petang ini.

Mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin (Ampang), dua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Saifuddin Abdullah (Temerloh)dan Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat).

Turut kelihatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang difahamkan mewakili BERSATU kerana beliau meninggalkan mesyuarat BERSATU di Petaling Jaya sebelum pertemuan itu tamat.

Hamzah Zainuddin (Larut) di Sheraton. Beliau diiringi oleh Setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

Mesyuarat hari ini dikatakan membincangkan peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Para pemberita telah menerima banyak mesej teks yang mendakwa kem Azmin akan mengumumkan mereka bakal meninggalkan PKR hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan

Mesyuarat Bersatu

Sementara itu, difahamkan Majlis Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat pagi ini di Menara Yayasan Selangor, kira-kira lima minit perjalanan dari hotel di mana kem Azmin sedang melakukan pertemuan.

Media sudah memenuhi pekarangan lobi bangunan menempatkan ibu pejabat BERSATU sejak jam 9 pagi, bagi menunggu mesyuarat selesai.

Setakat jam 12 tengah hari, media dimaklumkan tiada arahan untuk sebarang sidang media selepas pertemuan itu.

Terdahulu, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba sekitar jam 9.10 pagi untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Antara pimpinan yang dilihat hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Pengerusi Badan BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Turut kelihatan menaiki bangunan ibu pejabat BERSATU, beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO yang sudah menyertai BERSATU seperti Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Muafakat Nasional dan GPS bermesyuarat

Difahamkan Umno dan PAS yang bekerjasama atas nama Muafakat Nasional juga akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam perkembangan lain, Gabungan Parti Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen partinya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Di Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri.

Semalam ketika mesyuarat Majlis Presiden PH itu, pemimpin tertinggi terbahagi kepada dua pendapat. Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Tun Dr Mahathir." 

Apa sebenarnya berlaku hari ini? Apakah kerajaan baru bakal terbentuk?

 

4 Comments