'Kami bukan pengkhianat tapi gagalkan konspirasi jatuhkan PM'- Azmin
05:02 Feb 25, 2020  |  By SabahKini2
'Kami bukan pengkhianat tapi gagalkan konspirasi jatuhkan PM'- Azmin

Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM” (Perdana Menteri tanpa kuasa)

KUALA LUMPUR: Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan baharu, menegaskan mereka bukan pengkhianat seperti dituduh beberapa pihak.

Sebaliknya, kumpulan itu mendakwa pihak yang berusaha mengubah Perdana Menteri di tengah-tengah penggal adalah pengkhianat sebenar kerana mementingkan kuasa berbanding melaksanakan dasar kerajaan.

Dalam satu kenyataan bersama yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tindakan mereka adalah perlu bagi menggagalkan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah-tengah penggal.

Kumpulan itu percaya, peralihan kuasa sedemikian akan menggugat kesinambungan dasar dan persepsi rakyat terhadap PH, manakala kempen menyingkirkan Dr Mahathir pula menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

“Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM” (Perdana Menteri tanpa kuasa).

“Justeru itu, kami mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi bagi menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

“ Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar kerajaan bertujuan meningkat tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Usaha kami terbukti benar apabila pihak tersebut kini sedar kesalahan mereka, berdasarkan kenyataan mereka menyokong Dr Mahathir meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain Mohamed Azmin, turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Terdahulu, semua 11 Ahli Parlimen itu mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Damansara di sini, dipercayai bagi membincangkan percaturan seterusnya, termasuk kemungkinan menubuhkan parti baharu.

Mereka turut dipercayai membincangkan langkah susulan mereka selepas Dr Mahathir yang meletakkan jawatan tengah hari tadi, dilantik sebagai Perdana Menteri interim.

Menurut pihak yang rapat dengan kumpulan berkenaan, mereka menjangka sesuatu yang besar akan berlaku di Istana Negara esok, namun enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik beliau sebagai perdana menteri interim sehinggalah kerajaan baru mengangkat sumpah.

Percubaan untuk membentuk kerajaan baru dengan penjajaran semula sokongan politik itu telah mengheret Bursa Malaysia FBM KLCI turun ke paras terendah sepanjang 8 tahun ketika ditutup hari ini pada 2.68 peratus atau 41.14 mata lebih rendah berbanding penutupan hari Jumaat sebanyak 1,531.20.

Warisan dan GPS juga kelihatan menyokong gerakan itu, namun Warisan hari ini mengulang pendiriannya menyokong Mahathir.

Comment