Agong beri dua pilihan, namakan calon PM atau bubar Parlimen
04:02 Feb 26, 2020  |  By SabahKini2
Agong beri dua pilihan, namakan calon PM atau bubar Parlimen

Kami diberi dua pilihan… namakan calon perdana menteri atau mahu Parlimen dibubarkan

YANG Di-Pertuan Agong meminta ahli Parlimen yang dipanggil menghadapnya petang tadi memilih satu antara dua – menamakan seorang calon perdana menteri atau mahu Parlimen dibubarkan untuk memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan sebuah kerajaan baru.

Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said memberitahu wartawan hal itu sebaik beliau keluar dari Istana Negara, tempat Seri Paduka mengadakan pertemuan dengan seorang demi seorang ahli Parlimen sejak pukul 2.30 petang.

“Kami diberi dua pilihan… namakan calon perdana menteri atau mahu Parlimen dibubarkan,” katanya ketika ditemui selepas meninggalkan Istana Negara 

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengadakan pertemuan berasingan empat mata dengan kumpulan pertama 90 ahli Parlimen. Pertemuan dengan baki ahli Parlimen yang lain akan diteruskan esok.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Seri Paduka untuk melantik seorang perdana menteri daripada kalangan ahli Parlimen yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Berdasarkan kedudukan 222 kerusi di Dewan Rakyat, ahli Parlien itu hendaklah mendapat sekurang-kurangnya 112 sokongan.

Antara yang dipanggil mengadap hari ini termasuk ahli Parlimen dari Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Awal hari ini, GPS mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan sokongan ahli Parlimennya untuk Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri.

BN, PAS dan PBRS sementara itu dalam satu sidang media lewat petang tadi berkata mereka mahu Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata mereka menolak cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan campuran, sekiranya kerajaan itu disertai oleh DAP.

Sementara itu, Ketua Whip GPS Ahli Parlimen Petrajaya Fadillah Yusof memberitahu wartawan beliau diminta mengisi sekeping borang semasa pertemuannya dengan Yang Di-Pertuan Agong.

Katanya, beliau menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Dalam pada itu bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata pilihannya “rahsia”.- TMI

Comment