Kerajaan Johor bertukar, 28 Adun sokong gabungan baharu
14:02 Feb 27, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan Johor bertukar, 28 Adun sokong gabungan baharu

Istana Johor membuat pengumuman itu selepas Sultan Ibrahim Ismail berpuas hati gabungan Umno-PPBM di Johor mempunyai majoriti cukup.

Istana Johor hari ini mengisytiharkan BN dan PPBM Johor mewujudkan gabungan baru dan memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru.

Istana Johor membuat pengumuman itu selepas Sultan Ibrahim Ismail berpuas hati gabungan Umno-PPBM di Johor mempunyai majoriti cukup.

“Oleh yang demikian, gabungan parti baru berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum susunan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru dilantik.

“Tuanku berharap agar pentadbiran kerajaan negeri segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Menteri Besar Saharuddin Jamal bersama Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammed menghadap Sultan Johor semalam bagi memaklumkan suatu gabungan baru diwujudkan bersama beberapa Adun Johor dan berjaya memperolehi bilangan majoriti mudah.

Bagi mengesahkan sokongan tersebut, Sultan Ibrahim mengarahkan setiap seorang wakil rakyat datang menghadapnya untuk ditemubual bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

“Setiap Adun juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong Pakatan Harapan atau gabungan baru,” katanya.

Menurut kenyataan itu, daripada 56 Adun yang dipanggil, 2 orang tidak dapat menghadirkan diri iaitu Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub dari Amanah, dan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dari PPBM.

“Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, yang merupakan Adun Gambir turut hadir dapat dalam sesi temubual tersebut,” katanya.

1 Comment