Dua Ahli Parlimen nafi sokong Tun M sebagai PM
01:03 Mar 01, 2020  |  By SabahKini2
Dua Ahli Parlimen nafi sokong Tun M sebagai PM

Perkara itu didedahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu sendiri menerusi dua video berasingan, dipercayai diterbitkan sebaik saja Pakatan Harapan (PH) mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, lewat m

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen yang berada dalam senarai wakil rakyat yang dikatakan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan, menafikan berbuat demikian.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat menegaskan, akuan bersumpah (SD) mereka adalah bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Video- Air Times News Network

Perkara itu didedahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu sendiri menerusi dua video berasingan, dipercayai diterbitkan sebaik saja Pakatan Harapan (PH) mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, lewat malam semalam.

“Saya Datuk Syed Abu Hussin, Ahli Parlimen Bukit Gantang P059 telah memberikan persetujuan SD kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan yang telah diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya nama saya disenaraikan sebagai menyokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan,” kata Syed Abu Hussin Hafiz dalam satu video yang tular di media sosial.

Masir juga turut membuat pengakuan sama dengan menegaskan, senarai nama yang mengatakan beliau menyokong Dr Mahathir adalah tidak benar.

“Saya telah menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, seperti mana rakyat Malaysia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong telah umumkan petang tadi (semalam).

“Saya mohon perkara ini tidak jadi isu politik supaya kita menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara dan tidak lupa untuk kepentingan Sarawak,” katanya.

Lewat malam tadi, Dr Mahathir dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya memiliki sokongan 114 Ahli Parlimen, termasuk enam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dan sudah menyediakan surat serta SD untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan pengumuman Istana Negara bahawa Al-Sultan Abdullah memperkenan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan setelah menerima senarai pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, Muhyiddin menerima sokongan daripada 114 Ahli Parlimen, dipercayai membabitkan wakil rakyat BERSATU, UMNO, PAS, MCA, MIC, GPS dan STAR.

Muhyiddin dijangka menghadiri istiadat pengurniaan suratcara perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 10.30 pagi ini.

Comment