(VIDEO) Kerajaan PH Melaka tumbang, Norhizam ‘beliau’ DAP lompat Kerajaan Baharu
02:03 Mar 03, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) Kerajaan PH Melaka tumbang, Norhizam ‘beliau’ DAP lompat Kerajaan Baharu

Susulan cadangan Adly mahu membubarkan dewan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hasim Hasan, memaklumkan cadangan Adly tidak dipersetujui Mohd Khalil.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka akhirnya tumbang dan bakal diambilalih oleh gabungan parti politik baharu yang dikenali Perikatan Nasional.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab. Raof Jusoh Melaka berkata, perubahan itu selaras dengan perubahan kerajaan Pusat.

“Secara rasminya, kerajaan PH Melaka tidak berfungsi, kita BN akan ambilalih kerajaan dan diumumkan setiausaha kerajaan negeri tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media BN di Melaka hari ini.

Ab. Raof yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO berkata, pelantikan ketua menteri yang baharu juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kini bergabung dengan empat lagi wakil rakyat – dua daripada Bersatu, seorang ADUN DAP dan seorang ADUN PKR – menjadikan kesemuanya 17 ADUN.

YB DAP ‘Lompat Parti’.

Seorang wakil rakyat DAP itu ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee manakala seorang wakil rakyat PKR ialah Datuk Muhammad Jailani Khamis yang juga ADUN Rembia.

 

Bubar Dewan Undangan Negeri Melaka

Sebelum ini Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mahu pilihan raya negeri diadakan.

Dalam satu kenyataan Adly berkata beliau telah membuat cadangan itu kepada Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob selepas Pakatan Harapan kehilangan kawalan majoriti di dewan undangan negeri (DUN).

Yang di-Pertua mempunyai prerogatif untuk menerima atau menolak permintaan itu. Jika ditolak, maka Adly mesti melepaskan jawatan sebagai ketua menteri.


Khalil tidak setuju Bubar

Susulan cadangan Adly mahu membubarkan dewan,  Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hasim Hasan, memaklumkan cadangan Adly tidak dipersetujui Mohd Khalil.

Kata Hasim, berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Melaka, ketua menteri hendaklah meletakkan jawatan majlis mesyuarat kerajaan negeri.

"Selanjutnya berdasarkan perkara 7(2)(a) perlembagaan sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka akan melantik dalam masa terdekat seorang Adun sebagai ketua menteri yang baru untuk mengetuai majlis mesyuarat kerajaan negeri yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun," katanya.

Menurut Hasim lagi, Mohd Khalil mendapat representasi daripada sebahagian besar Adun Melaka bahawa Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar wakil rakyat negeri itu.  

 

 

 

15 Comments