Saya bukan pengkhianat- Tan Sri Muhyiddin
03:03 Mar 03, 2020  |  By SabahKini2
Saya bukan pengkhianat- Tan Sri Muhyiddin

Menurut Muhyiddin, jika beliau terus menyokong Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri dan beliau hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Menurut Muhyiddin, pada peringkat awal, beliau dan semua ahli Dewan Rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memberikan sokongan padu kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri namun beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain.

Oleh yang demikian, katanya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah mengambil keputusan dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang mana ketika itu nama beliau telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu dan ketua-ketua parti lain yang berpendapat mempunyai sokongan majoriti.

“Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung TV1 malam ini.

Menurut Muhyiddin, jika beliau terus menyokong Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan yang mana rakyat sudah pun letih dengan kemelut politik yang berlaku.

Tambah Perdana Menteri, sebagai pemimpin beliau mesti mencari jalan penyelesaian dan tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan.

Berikutan itu, jelas Muhyiddin, beliau telah bertemu Dr Mahathir dan meminta beliau menyokongnya dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti.

Katanya, Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepadanya sekiranya mendapat sokongan majoriti.

“Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri. Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat.

“Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, naluri beliau jelas bahawa  keberadaannya adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut. – MG

3 Comments