Covid-19: Selepas Felcra kini SKMM tutup sementara
07:03 Mar 05, 2020  |  By SabahKini2
Covid-19: Selepas Felcra kini SKMM tutup sementara

Penutupan sementara ini adalah salah satu langkah proaktif disebabkan penularan wabak Covid-19, sekaligus lebih memfokuskan kepada keselamatan dan kesihatan semua pihak.

KUALA LUMPUR: Semalam Wisma Felcra Berhad di Setapak Jaya ditutup serta-merta bermula 4 hingga 6 Mac selepas seorang daripada ahli lembaga pengarahnya disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat dihentikan bagi membolehkan kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

“Semua kakitangan di ibu pejabat diarahkan bekerja dari rumah dan dinasihatkan tidak ke luar daerah supaya mudah dihubungi. Ibu pejabat Felcra akan mula beroperasi seperti biasa pada 9 Mac (Isnin).

“Dimaklumkan juga semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa. Ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak wilayah dan kawasan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazrul Izam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan semuanya sedang menjalani saringan kesihatan di hospital berdekatan.

“Sehingga kini, mereka masih dalam kuarantin sendiri sehingga pihak hospital memberi keputusan ujian saringan itu.

“Selain itu, langkah pencegahan semasa termasuk melakukan ujian saringan suhu di lobi premis syarikat dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada staf dan pelawat,” katanya.

Ahli lembaga pengarah Felcra yang disahkan positif Covid-19 itu sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan beliau ialah kontak rapat kepada ahli Pengerusi Lembaga Pengarah UDA Holdings yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Ahli lembaga pengarah Felcra itu kali terakhir dilihat berada dalam Wisma Felcra pada 25 Feb lalu.


SKMM tutup sementara

Sementara itu hari ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengumumkan yang mana mereka akan menutup sementara ibu pejabat dan bangunan lama MCMC Cyberjaya. Kedua-dua bangunan ini akan ditutup selama dua hari ini, iaitu pada 5 Mac dan juga 6 Mac 2020.

SKMM mengatakan tindakan penutupan sementara ini adalah salah satu langkah proaktif disebabkan penularan wabak Covid-19, sekaligus lebih memfokuskan kepada keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Sebagai alternatif, orang ramai boleh membuat urusan secara atas-talian untuk sementara waktu ini.


Status semasa virus Covid-19 di Malaysia 5 Mac 2019

COVID-19 Statistik terkini dikeluarkan @WHO jam 8am, 5 Mac 2020. Kematian terus meningkat di Iran (92), Australia berlaku kematian kedua dan kes kematian pertama di Iraq. Bilangan yang dijangkiti virus ini di Itali melebihi 3,000 kes mengatasi Iran.

Comment