Hakim Idrus Harun abang Pengerusi SPR dilantik Peguam Negara
20:03 Mar 06, 2020  |  By SabahKini2
Hakim Idrus Harun abang Pengerusi SPR dilantik Peguam Negara

Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini, menggantikan Tommy Thomas

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Peguam Negara baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini, menggantikan Tommy Thomas yang melepaskan jawatan itu pada 28 Februari lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Mentei, selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempersetujui pelantikan Idrus untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Tan Sri Tommy Thomas untuk memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 28 Februari lalu, kata kenyataan itu lagi.

"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Tommy.

"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tommy atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan Peguam Negara," katanya, hari ini.

Idrus, 65, yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun adalah kelahiran Sanglang, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ayer Hitam dan Kolej Sultan Abdul Hamid.

Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Malaya (UM), sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1980.

Dalam karier beliau, Idrus pernah menjadi Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada 2014 hingga 2018, beliau turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 November 2018.

1 Comment