Rozman MP Labuan keluar Warisan sertai Muhyiddin?
01:03 Mar 09, 2020  |  By SabahKini2
Rozman MP Labuan keluar Warisan sertai Muhyiddin?

Selepas beberapa ketua kampung keluar parti dari Warisan dan PH, dijangka Datuk Rozman Isli juga bakal keluar Warisan menyertai parti kerajaan. Rozman sudah pasti mahu mengisi kekosongan Pengerusi Perbadanan Labuan...

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang keluar UMNO menyertai Warisan pada oktober 2018 dijangka akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau kembali kepada BN tidak lama lagi bagi menyokong kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.

Penyertaan Rozman membuka ruang kepadanya untuk kembali dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang sebelum ini diberi kepada Dato' Sri Haji Amir bin Haji Hussien Ketua Penyelaras Amanah Labuan yang akan tamat September ini.

Dato' Sri Haji Amir bin Haji Hussien pasti akan disingkirkan. Peluang buat
Datuk Rozman Isli bertukar ke Parti Kerajaan

Oktober tahun lalu Rozman diumumkan menyertai WARISAN parti berpangkalan di Sabah melalui Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking dalam satu majlis khas ketika itu.

Bagaimanappun Rozman yang menjadi Ahli Parlimen di pulau bebas cukai itu sejak tahun 2013 itu nampaknya tidak mendapat manfaat daripada Warisan dan hanya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang tidak punya kuasa berbanding Pengerusi.  

Ketua Kampung keluar Pakatan Harapan

Terbaru sebagai permulaan seramai 13 daripada 27 orang ketua kampung di Labuan yang mewakili parti Pakatan Harapan (PH) hari ini meletak jawatan dengan serta-merta dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Daripada 13 ketua kampung itu, lima daripada parti Parti Amanah Negara (Amanah), lima daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga daripada Warisan.

Peletakan jawatan mereka adalah susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu sebaik Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan susulan peralihan kuasa daripada PH ke Perikatan Nasional yang dijangka membentuk Kabinet hari ini.

Yang meletak jawatan adalah ketua kampung Kg Bukit Kalam, Kg Bebuloh, Sg Lada, Sg Miri, Sg Labu, Lajau, Kg Sg Bangat, Patau-Patau 2, Pohon Batu, Bukit Kuda, Sg Buton, Sg Bedaun dan Lubok Temiang.

Sementara itu Ketua badan pimpinan Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman berkata, peletakan jawatan mereka ini disifatkan sebagai keputusan yang sebaiknya dilakukan berikutan ketiga-tiga parti yang mereka wakili telah menjadi blok pembangkang.

“Ia seperti sebelum ini, semasa peralihan kuasa antara Barisan Nasional (BN) kepada PH sebaik Pilihan Raya Umum ke-14, yang kesemua ketua kampung diminta untuk letak jawatan. Tapi tindakan mereka hari ini, adalah mereka dahulu yang meletak jawatan sebelum diminta berbuat demikian,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Suhaili berkata, kesemua ketua kampung yang menyertai Bersatu adalah juga atas dasar keyakinan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu.

“Saya difahamkan akan ada lagi menyusul meletak jawatan dan menyertai Bersatu dalam masa beberapa hari,” katanya.

Bagi Mat Said Harris, 59, yang merupakan Ketua Penerangan PKR Labuan berkata, beliau meletakkan jawatan dan menyertai Bersatu adalah atas dasar memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada penduduk kampung di platform yang lebih kukuh iaitu parti pemerintah kerajaan.

Kemungkinan besar selepas pengumuman kabinet jam 5 petang nanti akan lebih ramai lagi pemimpin PH menyertai Perikatan Nasional.

 

8 Comments