MB Sokong PN, Kerajaan PH tumbang di Perak
13:03 Mar 09, 2020  |  By SabahKini2
MB Sokong PN, Kerajaan PH tumbang di Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak menerusi gabungan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

IPOH: Perak muncul negeri ketiga mempunyai kerajaan baru menerusi Perikatan Nasional (PN) selepas Johor dan Melaka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak menerusi gabungan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diketuainya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan mereka bergabung dengan 25 ADUN UMNO serta tiga ADUN PAS.

“Atas nama PN, saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa kepemimpinan BERSATU, UMNO dan PAS negeri Perak mencapai persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baru.

“Gabungan ini melibatkan empat ADUN daripada BERSATU, iaitu saya sebagai ADUN Chenderiang dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi serta dua lagi ADUN yang menyertai BERSATU iaitu ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Selepas perkembangan itu, DAP kini mempunyai 18 ADUN, Parti Amanah Negara (AMANAH) enam, manakala PKR (tiga).

Ahmad Faizal berkata, gabungan itu akan membentuk kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama erat dengan kerajaan PN pada peringkat Persekutuan, bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat.

“Demi Rakyat, kerana Allah, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan dalam barisan EXCO dan ADUN-ADUN PH yang memberi kerjasama yang baik kepada saya sepanjang menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kerajaan Negeri PH Perak sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, semua jawatan EXCO kerajaan Perak sebelum ini, gugur serta-merta.

Sementara itu, Saarani berkata, UMNO, PAS, Bersatu akan mencadangkan beberapa nama sebagai Menteri Besar Perak kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Di Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dari Barisan Nasional, Datuk Sulaiman Md Ali dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12, hari ini.

PN juga menubuhkan kerajaan negeri yang baru di Johor, minggu lalu.

Comment