Zahid tolak jawatan Kabinet kerana mahu bersih diri, fokus PRU15
12:03 Mar 10, 2020  |  By SabahKini2
Zahid tolak jawatan Kabinet kerana mahu bersih diri, fokus PRU15

“InsyaAllah, saya berdoa mahkamah membuat keputusan terbaik untuk saya. Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,”

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menolak jawatan dalam Kabinet bagi memberi fokus kepada usaha mempersiapkan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Zahid berkata, beliau turut mahu membersihkan dirinya di mahkamah daripada pertuduhan yang dibuat oleh peguam negara terdahulu terhadap beberapa pemimpin kerajaan sebelum ini.

“InsyaAllah, saya berdoa mahkamah membuat keputusan terbaik untuk saya. Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan 26 kementerian, termasuk 4 menteri kanan yang akan membantu beliau menyelaras hal ehwal Kabinet menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Turut diumumkan 5 menteri di Jabatan Perdana Menteri, termasuk menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Dua orang bukan ahli politik iaitu ketua pegawai eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad masing-masing diberi portfolio kewangan dan hal ehwal agama.

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 daripada Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Zahid turut menyokong pelantikan anggota Kabinet oleh Muhyiddin, yang menurutnya merupakan satu keperluan bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan ekoran defisit kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Umno mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berjaya mengumumkan barisan Jemaah Menteri hari ini.

“Kami memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri menerusi kerajaan yang baru ditubuhkan,” katanya.- FMT

Comment