Dipecat PKR saya terima dengan seadanya kata Jonathan
10:03 Mar 15, 2020  |  By SabahKini2
Dipecat PKR saya terima dengan seadanya kata Jonathan

Apapun kapasiti saya pada masa ini, keutamaan saya tetap untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Ranau khususnya, Sabah dan Malaysia amnya dengan segenap hati dan kudrat yang ada.

RANAU: Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin yang telah dimaklumkan berhubung pemecatannya sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), menerima keputusan itu dengan reda.

“Keputusan Pimpinan Pusat PKR saya terima dengan seadanya. Untuk makluman, saya memang tidak pernah memasuki mana-mana parti lain.

“Laporan-laporan media yang mengatakan saya telah menyertai mana-mana parti lain atau mengisi borang parti lain itu tidak tepat, inilah hakikat yang sebenar.

“Apapun kapasiti saya pada masa ini, keutamaan saya tetap untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Ranau khususnya, Sabah dan Malaysia amnya dengan segenap hati dan kudrat yang ada.

Jonathan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II, memuat naik kenyataannya di laman Facebook pada Rabu.

“Dalam sebuah negara yang demokrasi, kita tidak lari dari mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza.

“Jika pendirian dan pendapat saya berbeza dengan pimpinan pusat dan sebab itu saya dipecat dari parti, saya terima dengan seadanya. Namun demokrasi ranap bila hanya kerana perbezaan pendapat ahli-ahli PKR dipecat,” jelasnya.

Katanya, ramai kalangan ahli PKR yang tidak senang hati kenapa beliau pada awalnya menyokong Tun Dr. Mahathir untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, tidak ramai yang tahu bahawa sejak awal sebelum pencalonan pada 2018, akuan bersumpah telah dibuat bahawa Tun M sebagai Perdana Menteri.

“Dalam surat akuan bersumpah itu tidak ada tempoh masa disebut bila peralihan itu akan berkuat kuasa. Selagi tiada tempoh masa yang ditetapkan maka tiada mana-mana pihak yang boleh membuat keputusan secara unilateral untuk memaksa tarikh peralihan kuasa tersebut.

“Memang saya dan rakan-rakan mempertahankan Tun M untuk terus berkhidmat selagi Tun M sanggup menggalas tanggungjawab itu kerana visi Tun M memang ada kebenarannya. Selainnya, tinggal sejarah,” jelas Jonathan.

Beliau juga menerima dengan reda semua komen-komen positif atau negatif ke atas dirinya dan pendiriannya. Katanya beliau tidak dapat memuaskan hati semua orang.

“Adakalanya keputusan yang runcing perlu dibuat dalam situasi yang amat sukar dan perkara itu bukan mudah.

“Pasti ada yang bertanya kenapa saya tidak beritahu awal situasi yang saya hadapi. Saya fahami penjelasan itu perlu dan saya sudah mengadakan perjumpaan dengan pimpinan Cabang PKR Ranau dan memberi bukti-bukti yang ada untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Para pimpinan parti Cabang Ranau berpuas hati dengan penjelasan yang saya beri,” katanya.

Jonatahan yang sebelum ini dikatakan menyertai parti Bersatu bersama-sama Azmin Ali dan sembilan Ahli Parlimen yang lain turut menjelaskan, beliau bersedia untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada Badan Disiplin PKR Pusat jika mereka memberi surat ‘show cause’ kepadanya.


Bersama Menteri KDN dan Timbalan Menteri 1 

Namun katanya, Badan Disiplin PKR Pusat telah membuat keputusan tanpa mendengar terlebih dahulu penjelasan daripadanya.

“Apapun adanya, saya menghargai semua rakan-rakan PKR. Khidmat saya kepada rakyat tetap akan saya teruskan tanpa pilih kasih, atau memandang kepartian. Moga kita semua dapat memberi khidmat yang terbaik buat rakyat.

“Di bawah pemerintahan yang lama kita sudah usahakan untuk mendapatkan semua hak-hak Sabah terutama yang terkandung dalam Perlembagaan dan MA63 seperti yang termaktub di dalam buku Harapan namun kita gagal mendapatkannya. Moga dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiddin Yassin, keadaannya akan lebih baik, dan diberi perhatian yang wajar,” tambah beliau. NST

 

Comment