Perintah Kawalan Pergerakan: 'Dua minggu sahaja, duduk diam-diam di rumah' - PM
06:03 Mar 19, 2020  |  By SabahKini2
Perintah Kawalan Pergerakan: 'Dua minggu sahaja, duduk diam-diam di rumah' - PM

Perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin merayu rakyat tidak balik kampung sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu bermula hari ini.

“Saya lihat lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari, tolonglah ‘stay put where you are’.

“Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh 2 minggu ini sahaja,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen malam ini.

Perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi, sementara kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang saja.

Muhyiddin berkata, jika penularan Covid-19 gagal dikawal, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan.

Katanya, perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan selama 2 minggu kerana virus itu mempunyai jangka hayat inkubasi 2 minggu.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua mengasingkan diri dan keluarga daripada terdedah kepada virus Covid-19 dengan berada di rumah.”

Beliau meminta orang ramai tidak melepak di luar rumah, termasuk pusat hiburan bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus itu.

Muhyiddin turut meminta orang ramai menangguhkan kenduri kahwin dan majlis akad nikah sehingga keadaan beransur pulih.

“Jangan malu, jangan segan. Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana Covid-19.

“Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu.”

Katanya, sebagai perdana menteri, beliau memikul tanggungjawab besar menangani krisis kesihatan ini, tetapi mustahil untuk melakukannya bersendirian.

“Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak Covid-19 daripada menular di negara kita.

“Insya Allah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini.”

Semalam, Malaysia mencatatkan 2 kematian Covid-19 yang pertama, membabitkan seorang pastor berusia 60 tahun di Sarawak dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 117 kes baru, termasuk 80 kes berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan 15 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi, menjadikan keseluruhan 790 kes.

Seramai 11 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 60 kes pulih setakat ini.- fmt

Comment