Kempen Melawat Malaysia 2020 dibatalkan, kata menteri
07:03 Mar 19, 2020  |  By SabahKini2
Kempen Melawat Malaysia 2020 dibatalkan, kata menteri

Keputusan itu, katanya, berikutan impak penularan Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya.

KUALA LUMPUR: Kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dibatalkan serta-merta bagi mencegah penularan Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Keputusan itu, katanya, berikutan impak penularan Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya.

Beliau berkata, susulan perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19, kementeriannya turut membekukan semua urusan kaunter dan perkhidmatan dalam talian bagi permohonan baru, pembaharuan lesen pengendalian pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki sehingga 31 Mac ini.

Katanya, sejajar pengisytiharan perintah kawalan pergerakan, semua premis penginapan pelancong masih dibenarkan beroperasi, namun secara minimum.

“Semua tetamu premis penginapan pelancong hendaklah berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara ‘room service’.

“Proses pendaftaran tetamu (check-in) ke premis penginapan pelancong bagi tempoh perintah dibenarkan, tetapi dalam skala kecil dan dihadkan.”

Bagaimanapun, katanya, pelancong domestik baru yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong tidak dibenarkan.

VM2020 yang dilancarkan pada 31 Dis lalu menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong dan RM100 bilion disumbangkan industri pelancongan.-FMT

Comment