Covid-19: 153 kes baharu, 8 kematian dicatatkan kini
19:03 Mar 21, 2020  |  By SabahKini2
Covid-19: 153 kes baharu, 8 kematian dicatatkan kini

Daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling

STATUS TERKINI KES COVID-19 YANG DISCAJ

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 27 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 114 kes.

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 21 Mac 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 153 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,183 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. 60 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun hari ini Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan status terkini 8 kematian dicatatkan. Kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan seperti berikut;

Dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat pertambahan empat (4) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM. Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak lapan (8) sehingga kini. Pertambahan kes tersebut adalah seperti berikut:

- Kes kematian kelima (kes 1031) adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama 5 hari. Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan. Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau.

- Kes kematian keenam (kes 1032) pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima. Kes ini melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020. Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020.

- Kes kematian ketujuh (kes 290) melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu. Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac 2020.

- Kes kematian kelapan (kes 781) pula adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020. Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac2020 pada jam 4.00 petang.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

Comment