LHDN beri insentif potongan cukai kepada penderma
11:03 Mar 26, 2020  |  By SabahKini2
LHDN beri insentif potongan cukai kepada penderma

Kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan, insentif itu diberikan kepada penderma yang menyumbang untuk Tabung COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan, Pengurusan Bencana Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri dan institusi atau organisasi di

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberi insentif potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai atau barang untuk digunakan bagi menangani penularan COVID-19 dan membantu rakyat yang terkesan dengan wabak itu.

Kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjelaskan, insentif itu diberikan kepada penderma yang menyumbang untuk Tabung COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan, Pengurusan Bencana Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri dan institusi atau organisasi diiktiraf, seperti Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (bantuan COVID-19).

“Bagi sumbangan berbentuk peralatan atau barang, penyumbang perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima berserta cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, sebelum mengemukakan permohonan potongan.

“Permohonan yang lengkap hendaklah dialamatkan kepada Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan. Pembayar cukai yang menderma dinasihatkan menyimpan rekod transaksi sebagai bukti supaya boleh dijadikan rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2020 dan semakan LHDN,” katanya kenyataan itu hari ini.

LHDN menjelaskan, bagi transaksi derma tunai, rekod yang perlu disimpan ialah resit rasmi kerajaan, slip pindahan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), slip deposit cek, slip deposit melalui kaunter bank, slip pembayaran dalam talian, slip pindahan melalui Interbank Giro (IBG Transfer), resit Real Time Electronic Transfer Fund and Securities Systems (RENTAS) dan resit telegraphic (TT) bersama ‘advice of credit’.

“Bagi transaksi derma peralatan atau barang, dokumen yang diperlukan ialah surat kelulusan asal Menteri Kewangan, resit rasmi atau surat akuterima sumbangan daripada badan penerima dan surat pengesahan nilai perkhidmatan atau nilai kos projek daripada agensi kerajaan berkaitan.

“Bagi derma tunai kepada institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6), dokumen diperlukan ialah resit rasmi yang diiktiraf LHDN,” kata kenyataan itu.

LHDN menasihatkan orang awam membuat semakan kesahihan organisasi sebelum membuat sumbangan bagi mengelakkan penipuan dengan melayari https://www.hasil.gov.my atau capaian pantas berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=6&bt_posi=1&bt_u

Comment