Tambah bekalan beras krisis Covid-19, lindungi petani segerakan RM1B dana jaminan makanan
05:03 Mar 28, 2020  |  By SabahKini2
Tambah bekalan beras krisis Covid-19, lindungi petani segerakan RM1B dana jaminan makanan

Kerajaan diseru menambah bekalan beras di pasaran ketika berdepan wabak Covid-19, ditambah perintah kawalan pergerakan yang berlangsung dari 18 Mac hingga 14 April.

Perangkaan Lembaga Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) menganggarkan sekitar 650,000 hektar tanah ditanam dengan padi pada tahun lalu. Keluasan sebenar tidak banyak bertambah malah makin menurun akibat pindah guna tanah

Bilangan pesawah di Malaysia dianggarkan lebih 172,000 manakala di Amerika hanya dalam ribuan orang, tetapi mengerjakan ladang seluas 1.3 juta hektar. Malah mungkin kita tidak setanding negara jiran yang mengeluarkan beras dalam semua aspek.

 

Kali terakhir kita kecukupan beras adalah pada tahun 1989. Sejak itu jurang antara permintaan dengan bekalan meningkat tahun demi tahun kepada kira-kira 30 peratus sekarang.

Di Malaysia, hasil projek pengairan yang mula dibina pada tahun 1960-an, keluasan sawah dapat ditingkatkan melalui sistem penanaman dua kali setahun.

Persoalannya cukupkah sumber bekalan makanan seperti beras ketika negara berhadapan wabak COVID-19 termasuk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan?


Pembelian Panik


Sejak perintah kawalan pergerakan (MCO) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 rakyat sudah mula membuat pembelian panik. Barangan makanan habis dengan cepat.

Susulan itu pada 19 Mac Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Ronald Kiandee memaklumkan stok beras di pasaran tempatan adalah mencukupi dan rakyat tidak perlu membuat pembelian panik.

Begitu juga bekalan dan pengeluaran bahan makanan import seperti daging, susu, beberapa jenis sayuran dan buahan di negara pengeksport masih konsisten.

“Cuma terdapat kemungkinan COVID-19 akan memberikan impak terhadap pergerakan dan logistik perdagangan global mungkin memberikan sedikit sebanyak kesan,” katanya.


Kebenaran dalam aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan

Bagaimanapun pembelian panik rakyat tidak terhenti, pasaraya, pasar basah, kedai runcit penuh bersesak membimbangkan lagi penularan Covid-19 sekali lagi pada 22 Mac 2020 Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

“Aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur dibenarkan terus beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memastikan bekalan daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil perikanan mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia’ katanya.

Kebenaran itu juga diberikan kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan termasuk input-input pertanian dan makanan ternakan.

Tempoh krisis: Surat yang digunakan untuk syarikat, pengusaha atau individu

Semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti bekalan dan pemasaran makanan diminta membuat pengesahan dan surat kebenaran diberikan untuk beroperasi

Rentetan kebimbangan itu pada 24 Mac satu Jawatankuasa khas kerajaan ditubuh, memastikan bekalan makanan mencukupi dan tidak terjejas ketika negara berhadapan wabak COVID-19 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Jawatankuasa khas ini dipengerusikan menteri MITI untuk memastikan bekalan mencukupi dan tidak terganggu," katanya

Tambahnya, jawatankuasa itu juga akan membincangkan segala isu berkaitan rantaian bekalan terutama bahan basah termasuk ikan dan sayur serta bagaimana memastikan proses penghantarannya berjalan lancar sehingga sampai kepada pengguna.


Import beras terhenti

Najib bekas Perdana Menteri dalam facebooknya menyuarakan rasa bimbangnya apabila negara-negara eksport barang makanan seperti beras menghentikan eksport mereka atas alasan mempertahankan ‘food security’ mereka.

26 Mac lalu kerana kebimbangan Covid-19 menular Vietnam mula menghentikan eksport berasnya kepada negara luar.

Kerajaan Vietnam dalam kenyataan, berkata eksport beras meningkat 4.2 peratus tahun lalu kepada 6.37 juta tan, menjadikan negara itu pengeksport ketiga terbesar di dunia selepas India dan Thailand.

Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc memberitahu menteri perdagangan, kewangan dan pertanian untuk menyemak semula stok beras negara dan mengemukakan laporan mengenai bekalan dan eksport pada hari Sabtu, menurut kenyataan itu.

“Sementara menunggu laporan, perjanjian semua kontrak eksport beras baru akan digantung, dan kontrak yang sudah ditandatangani akan diuruskan selepas laporan itu tersedia,” kata kerajaan.

Larangan itu akan berkuatkuasa sehingga laporan itu diserahkan pada 28 Mac, katanya.

Langkah yang dilaksanakan Vietnam menarik perhatian pasaran antarabangsa termasuk peniaga beras Eropah.

“Jika negara pengeksport makanan mengehadkan bekalan untuk melindungi sekuriti makanan negara mereka, ia akan menjadi satu kebimbangan yang sangat besar.”

Pecah monopoli

Menyedari kebimbangan itu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan menggunakan krisis Covid-19 sebagai peluang untuk memecahkan monopoli industri pemakanan dan pertanian seperti benih, beras import dan baja.

Kerajaan mesti memastikan bekalan beras import - 30 peratus dari keperluan tempatan - mesti sentiasa ada pada setiap masa dan tidak bergantung kepada syarikat swasta untuk menguruskannya.

Langkah itu dicadang sebagai langkah pakej rangsangan komprehensif kerajaan bagi membantu usahawan yang terjejas susulan penyebaran wabak Covid-19.

“Ini akan menguatkan agenda kedaulatan makanan dan keselamatan yang sebenar yang sering dipandang mudah sebelum ini.

“Perubahan struktural akan meningkatkan produktiviti pertanian untuk menyokong pengeluaran dalaman dan bilangan import yang menguntungkan negara.

“Malah kalau ada syarikat yang perlu dimiliknegarakan inilah masanya demi kebaikan rakyat,” kata Presiden DPMM Abd Halim Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif (MTEM) Ahmad Yazid Othman.


Kebimbangan rakyat

Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) menyeru kerajaan menambah bekalan beras di pasaran ketika berdepan wabak Covid-19, ditambah perintah kawalan pergerakan yang berlangsung dari 18 Mac hingga 14 April.

Koordinator Padi Rescue, Nur Fitri Amir Muhammad berkata ia mesti ditambah agar dapat bertahan selama 6 bulan hingga setahun lebih-lebih lagi dengan ramalan kemelesetan ekonomi pasca Covid-19 seluruh dunia.

“Dalam keadaan krisis, bekalan beras stockpile negara dan bekalan beras di pasaran seharusnya dapat bertahan selama 3 bulan dan ia memadai sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

“Namun, jika didapati jumlah sebenar stok tidak mencukupi atau krisis ini akan berpanjangan, pihak kerajaan mesti segera melaksanakan misi membawa masuk bekalan beras melalui saluran ‘government to government’ untuk melangkau ‘export ban’ atau membawa masuk bekalan dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Realiti sebenar

Sekalipun kerajaan memberi kebenaran dalam aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan kepada syarikat, pengusaha dan individu namun realiti sebenar pelaksanaan tidak semudah itu.

Syarikat perlu mendapatkan pengesahan kebenaran membuktikan penglibatan mereka dalam rantaian bekalan dalam masa sama bagi syarikat atau pengusaha mengalami kekurangan tenaga kerja terutama pekerja asing yang sanggup bekerja di ladang bagi tujuan penyemburan dan pembajaan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat membataskan pergerakan pekerja malah menakutkan pekerja asing di sektor ladang yang selama ini mengurangkan kos pertanian.



Penanaman padi di Perak dan Kedah yang ditanam dua kali setahun pastinya akan menerima kesan jika petani melihat kos penanaman, pembajaan, semburan racun terus meningkat.

Solusi

Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat RM250 bilion Antara lain bakal memperkukuh rantaian bekalan makanan. Iaitu;

  • Memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan.
  • Memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.
  • Peruntukan sebanyak RM64.4 juta bagi menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat RM250 bilion ]


Teknologi baru Dron kurangkan kos tenaga kerja asing

Kementerian Pertanian dan Industri pertanian mesti mencari cara baru lebih pantas meningkatkan hasil pertanian dan mengukuhkan rantaian bekalan yang dihasilkan oleh rakyat tempatan.

Pergantungan kepada import akhirnya memakan diri terutama ketika wabak Covid-19 melanda.

 

Penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam industri penanaman padi bagi menggantikan kaedah penyemburan racun serangga secara manual misalnya mampu mengatasi masalah pekerja asing yang berkurangan.

Dron boleh membuat semburan racun atau baja sehingga 20 hektar sehari sudah tentu lebih cepat berbanding manusia.

Maka tidak hairan kita melihat agensi atau GLC kerajaan seperti Felcara Berhad dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggunakan teknologi dron di sawah padi. Begitu juga koperasi dan pertubuhan peladang.

Kerajaan boleh memberi subsidi atau menanggung kos penggunaan teknologi ini seperti penyemburan racun, baja malah membuat analisis data kepada tanaman. Ini penting jika tiada pekerja asing maka petani boleh menggunakan teknologi moden dengan  kos berpatutan.

Kebimbangan penyebaran Covid-19 juga terlalu kecil kerana hanya menggunakan teknologi.

 

 

 

2 Comments