Tarif elektrik kekal Maximus tawar Kerajaan Negeri Sabah beli aset SESB lebih RM8bilion
08:12 Dec 27, 2017  |  By SabahKini2
Tarif elektrik kekal Maximus tawar Kerajaan Negeri Sabah beli aset SESB lebih RM8bilion

Belum ada cadangan untuk menyerahkan semula SESB kepada kerajaan Negeri Sabah, namun jika Kerajaan Negeri berminat mereka boleh membayar aset SESB bernilai kira-kira RM8 bilion dan kos lain yang ditanggung anak syarikat TNB itu.

KOTA KINABALU: Kadar tarif elektrik pengguna di Semenanjung kekal bagi tempoh tiga tahun akan datang bermula pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020, manakala kadar sedia ada di Sabah dan Labuan tidak berubah hingga Jun tahun depan.

Purata kadar tarif elektrik di Semenanjung ketika ini yang digunakan sejak 1 Januari 2014 ialah 38.53 sen per kilowatt jam (kWh), manakala 34.52 sen/kWh di Sabah dan Labuan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pengekalan tarif itu berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.

Katanya, mesyuarat itu juga bersetuju supaya kerajaan menampung keseluruhan rebat tarif elektrik di Semenanjung sebanyak 1.52 sen perkWh dan 0.28 sen perkWh surcaj, bersamaan tanggungan keseluruhan 1.8 sen perkWh.

"Jumlah keseluruhan rebat tarif elektrik ialah sebanyak RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018. Secara keseluruhannya, kerajaan memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.

"Dengan keputusan ini, pengguna di Semenanjung tidak akan mengalami sebarang perubahan dalam bil elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018 sekiranya pengguna mengekalkan penggunaan elektrik sedia ada," katanya pada sidang media, di sini.

Bagi tarif elektrik di Sabah dan Labuan, kadarnya ditetapkan hingga Jun kerana Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) belum mengguna pakai mekanisme kawal selia berasaskan insentif (IBR) seperti digunakan TNB di Semenanjung.

Pengguna di Sabah dan Labuan juga kekal menikmati rebat tarif elektrik sebanyak 1.2sen perkWh sepanjang tempoh berkenaan.

"Kerajaan memberikan subsidi bahan api dan tarif sebanyak RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018," katanya.

 SESB mahu lupuskan saham dan tawarkan kerajaan Negeri ambil alih SESB

22 Disember lalu Maximus memberi gambaran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) seperti telur dihujung tanduk, apabila syarikat itu disifatkan sebagai "berada di ambang muflis."

Sementara itu Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang mempertimbangkan secara serius untuk melupuskan pegangan sahamnya dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dr Maximus Ongkili.

"Perbincangan antara kami, Kementerian Kewangan dan TNB sudah berada di peringkat lanjutan, tetapi kami belum sampai kepada sebarang kesimpulan.

Maximus juga berkata setakat ini belum ada cadangan untuk menyerahkan semula SESB kepada kerajaan Negeri Sabah, namun jika Kerajaan Negeri berminat mereka boleh membayar aset SESB bernilai kira-kira RM8 bilion dan kos lain yang ditanggung anak syarikat TNB itu.

Ketika ini, TNB memiliki 82.75 peratus pegangan dalam SESB, manakala 17.24% dimiliki kerajaan negeri Sabah.

Dalam hal berkaitan, Maximus menjelaskan kenyataannya berkaitan SESB sebelum ini bukan merujuk bahawa syarikat utiliti itu muflis berikutan mencatat kerugian berterusan, namun berada dalam situasi hampir tidak mampu dari segi kewangan.

Katanya, nilai aset SESB yang kini mencecah RM8 bilion menggambarkan kedudukan syarikat itu yang masih kukuh dan boleh terus bertahan sekalipun kenyataannya di “ambang muflis” di putar belitkan media.

 

 

Comment