Bos Mydin gesa gaji penjawat awam dipotong tetapi realiti mereka 96% berhutang, 76 % gaji RM3000- RM5000
08:04 Apr 24, 2020  |  By SabahKini2
Bos Mydin gesa gaji penjawat awam dipotong tetapi realiti mereka 96% berhutang, 76 % gaji RM3000- RM5000

Gesaan Bos Mydin memotong gaji penjawat awam mendapat reaksi pelbagai pihak. Ada kata wajar ada kata tidak. Cuepacs dan pemuda umno misalnya menyanggah cadangan itu. Bagi pegawai tinggi JUSA memang telah dipotong sehingga RM5000 sebulan

Taikun sektor runcit Mydin mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji pegawai awam.

Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang sedang berlaku.

Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita semua terkesan,” kata Ameer

Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.

“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau gulung tikar,” katanya.

Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.

Bagaimanapun katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta pegawai awam walaupun anggota Kabinet membuat potongan gaji 2 bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.

“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.

Beliau berkata, gaji pegawai awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ameer berkata, potongan gaji pegawai awam boleh dibuat berdasarkan peringkat gaji mereka.

Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh pegawai awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua pinjaman bank lain diberikan moratorium.

“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana pegawai awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.

“Semua orang harus memikul beban ini,” katanya.

Realiti penjawat awam- Potong gaji dan hutang

Untuk rekod kerajaan tidak meluluskan moratorium LPPSA kepada semua penjawat awam yang membuat pinjaman sebagaimana keputusan kerajaan baru-baru ini walaupun terdapat penjawat awam bergaji rendah terkesan ketika krisis COVID-19.

 

9 April lalu Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan memaklumkan melalui satu mesyuarat bersama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan semua Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi bersetuju mengurangkan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) kepada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) masing-masing untuk disumbangkan kepada Tabung COVID-19.

“Kadar pengurangan ITK bagi Gred Utama/Khas B dan C adalah sebanyak 5 peratus serta 10 peratus bagi Gred Utama/Gred Khas A dan ke atas.

Ia memberi impikasi pemotongan kira-kira RM4000 ke RM5000 gaji pegawai JUSA di negara ini. Pemotongan gaji pegawai tinggi nampaknya tidak begitu memberi masalah dalam menangani krisis COVID-19

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah Mohd Kurniawan Naim Moktar dalam satu kenyataan menyanggah Ameer Ali Mydin sebagai  TIDAK RASIONAL untuk dilaksanakan tanpa persetujuan keseluruhan penjawat awam serta  penilaian secara kolektif terhadap keseluruhan penjawat awam.

Jumlah penjawat awam di Malaysia adalah sebanyak 1.6 juta iaitu 5% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, jumlah hutang terkumpul penjawat awam ialah sebanyak RM236 bilion (Data Februari 2018) iaitu 20% daripada keseluruhan jumlah hutang isi rumah di Malaysia.

Sehingga 22 oktober 2018, statistik menunjukkan bahawa sekitar 76% penjawat awam memiliki gaji kurang daripada RM5000 iaitu peningkatan sebanyak 8% berbanding februari 2018.

97% daripada keseluruhan penjawat awam direkodkan berhutang di mana 62% daripada RM236 bilion hutang yang dimiliki oleh penjawat awam merupakan pinjaman daripada Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB).

Mengambil kira faktor hutang penjawat awam, jika membuat pinjaman LPPSA (Tiada moratorium) pemotongan gaji bagi penjawat awam bergaji  RM3500 hingga atau RM5000 akan menyebabkan berlakunya krisis kewangan yang serius dalam kalangan penjawat awam. Menurut Bank Negara lagi hanya 15% daripada pendapatan bulanan mereka (iaitu kira-kira RM360 hingga RM586) boleh digunakan untuk perbelanjaan barangan yang pembeliannya adalah mengikut budi bicara pengguna (discretionary items), dan juga untuk simpanan.

Satu pendekatan yang boleh dilakukan ialah pemotongan gaji secara sukarela kepada individu dan bukannya kolektif secara pukul rata kepada 1.5 juta penjawat awam

Bantahan Cuepacs

Manakala Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah sepenuhnya dan melahirkan rasa kesal dengan cadangan pemotongan gaji penjawat awam yang dikemukakan ahli perniagaan Ameer Ali Mydin.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, cadangan itu tidak kena pada masanya di saat kerajaan, yang menurutnya ditunjangi penjawat awam, sedang berusaha sehabis daya melawan wabak Covid-19.

“Cuepacs melahirkan rasa kesal dan membantah cadangan tersebut secara total.

“Cadangan atau kenyataan yang dibuat secara umum itu bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam, malah boleh melunturkan semangat penjawat awam yang ketika ini sedang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata lagi, Ameer sebagai seorang usahawan yang berpengaruh seharusnya bersama-sama penjawat awam membantu negara berdepan krisis tersebut.

“Penjawat awam masih menjalankan tugas seperti biasa. Mereka yang berada di barisan hadapan tetap menjalankan tugas tidak kira hujan panas dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

"Mereka di belakang tabir seperti pembantu tadbir tetap dengan tugas membantu seperti biasa di jabatan untuk membantu petugas barisan depan dan ada juga yang melaksanakan tugasan di rumah. Para guru terus menjalankan tugasnya mengadakan sesi pembelajaran secara online," katanya lagi.

Sesekalipun segala pandangan termasuk Bos Mydin itu dilihat dalam konteks masing-masing namun ia harus diperhalusi secara menyeluruh mengambil kira pendapat penjawat awam Jangan lupa pembeli barangan di pasaraya Mydin juga ramai dari penjawat awam kategori gaji RM bawah RM5000. 

Bagaimanapun syarikat swasta dan para majikan menyokong gesaan bos Mydin itu.

 

 

1 Comment