Kapal Pemusnah China dan Armada Amerika Di Laut Kita, Menteri Luar tak buat nota bantahan diplomatik?
15:04 Apr 24, 2020  |  By SabahKini2
Kapal Pemusnah China dan Armada Amerika Di Laut Kita, Menteri Luar tak buat nota bantahan diplomatik?

Isu Laut China Selatan Datuk Seri Hishammuddin Menteri Luar hanya beri amaran tetapi tidak membuat nota bantahan diplomatik? Bukankah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia?

Susulan surat terbuka dan teguran bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meminta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya berhubung aktiviti survei yang dijalankan oleh kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

[ARTIKEL BERKAITAN- Surat Terbuka Anifah Aman kepada Perdana Menteri mengenai 'Isu Laut China Selatan' ]

Surat Terbuka Anifah Aman kepada Perdana Menteri mengenai 'Isu Laut China Selatan'Teguran Anifah kepada Kerajaan 

Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, hak kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan sebagainya. Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China tetapi China menghormatinya.

Katanya Malaysia tidak akan dapat mempertahankan kepentingan strategik tanpa pendirian yang konsisten dan berprinsip ini. Antara elemen utama pendirian ini ialah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia kerana tuntutan China berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS).

Anifah berkata, meskipun kapal MMEA dan TLDM negara bersaiz kecil dan mungkin tidak mampu menghalang kapal China namun sekurang-kurangnya negara menzahirkan tekad untuk tidak membiarkan kapal China berbuat sesuka hati di perairan negara.

“Dalam masa yang sama, kita boleh meneliti dan memahami setakat mana China akan bertindak balas terhadap Malaysia. Pemantauan rapat dan membayangi (close surveillance and shadowing) juga mesti dilaksanakan. Seterusnya pihak kerajaan melalui Menteri Luar Negeri wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia

“Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan laporan media tempatan, serantau dan antarabangsa sejak hujung minggu lepas berhubung keadaan di Laut China Selatan, khususnya yang berkaitan dengan kehadiran kapal–kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

Respon Menteri Luar

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan balasnya berkata Malaysia berpendirian bahawa setiap perselisihan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan harus diselesaikan secara damai. Katanya ia bertujuan untuk memastikan semua pihak dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan di perairan berkenaan.


Beliau bersetuju dengan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Sebagai bekas Menteri Pertahanan saya amat sedar dan sedar akan keadaannya. Kita mesti mengelakkan kejadian sengaja dan tidak disengajakan di perairan ini.

“Walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal perang dan kapal di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan yang seterusnya boleh mengakibatkan salah perhitungan yang boleh mempengaruhi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Hishammuddin itu dipaparkan dalam facebooknya. Namun setakat hingga kini tidak dipastikan jika Hishammuddin dan Wisma Putra telah membuat nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tiada kenyataan media mengenai nota bantahan diplomatik  Datuk Seri Hishammuddin setakat ini. 

Hari ini seorang pensyarah UKM, ABDUL MUEIN ABADI yang juga Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda menulis mengenai pertembungan antara kapal pemusnah China dengan angkatan armada laut Amerika Syarikat di Laut China Selatan di perairan negara yang ramai tidak mengetahuinya secara terperinci. Tulisan itu membuka mata betapa seriusnya masalah keselamatan di perairan negara kita.

____________________________

TERKINI kita dikejutkan dengan pertembungan antara kapal pemusnah China dengan angkatan armada laut Amerika Syarikat pada skala luar biasa di perairan kita hingga memaksa Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras serta menegaskan hak Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

Pencerobohan kali ini adalah cukup luar biasa oleh China di perairan kita – bukan sahaja mereka menghantar kapal hidrografi dan kapal peronda pengawal pantai, tetapi juga Kapal Pemusnah Type 052B iaitu Wuhan (169) seperti mana laporan New York Times.

Dengan segera, Amerika Syarikat telah mengerahkan angkatan armada mereka iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52.

Segalanya bermula pada 17 April 2020 apabila kapal Hidrografi milik China iaitu Haiyang Dizhi 8 dilaporkan mula mengganggu aktiviti penggalian minyak dan gas oleh kapal Eksplorasi dan Penggalian West Capella yang disewa Petronas. Ia turut dirapati oleh sekitar sepuluh kapal peronda Pengawal Pantai China (CCG) 5901.

Pada 20 April pula, portal Malaysia Defence Review melaporkan bahawa Kapal Penyerang Amfibia (LHA) milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN), USS America berada dalam kedudukan 100 batu nautika dengan kelajuan penuh dari Kapal Ekplorasi dan Penggalian milik Petronas, West Capella.

Kapal USS America sebelum itu berada di Laut China Timur untuk menjalani latihan bersama pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) dan kemudiannya ulang bekal di Filipina.

Laman Armada Pasifik Ketujuh, Amerika Syarikat mengesahkan bahawa operasi ‘Expeditionary Strike Group’ ini dikepalai Kapal Penyerang Amfibia USS America (LHA 6), diiringi kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52.

Portal Malaysia Defence Review melaporkan bahawa Kapal Frigat Australia, Kelas Anzac, HMAS Parramatta turut berada di Laut China Selatan. Portal Malaysia Military Power (MMP) pula melaporkan bahawa aset TLDM dan APMM juga berada dekat dengan West Capella dan turut memantau persekitaran EEZ kita.

Hakikatnya, kapal West Capella sudah pun berada di medan minyak baharu itu sejak bulan Oktober tahun lalu, namun kini ternyata ia adanya peningkatan aktiviti oleh China dengan kemasukan kapal peninjau dasar laut Haiyang Dizhi 8 diiringi lebih 10 buah kapal militia dan pengawal pantai.

Untuk rekod, kapal China yang sama juga melakukan aktiviti provokatif di perairan Vietnam sebelum itu apabila Vietnam menuduh China sengaja menenggelamkan kapal mereka hingga mengakibatkan lapan warga mereka maut – sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.

Rejim Komunis itu tetap tidak mengendurkan lagak unilateral mereka. Sejak Disember 2019 lagi, rejim itu membantah tindakan Malaysia menghantar tuntutan persempadanan pentas benua di Utara Laut China Selatan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan Malaysia menghantar tuntutan itu yang kedua selepas kali pertama melakukannya untuk bahagian Selatan di Laut China Selatan pada 2009 bersama-sama Vietnam jelas selari dengan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) yang menyatakan bahawa mana-mana negara berhak menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sejauh 200 batu nautika dari garis pantainya.

Kemuncaknya pada 21 April 2020, China bertindak memberikan nama kepada 80 pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan, yang segera menimbulkan kemarahan negara-negara jiran.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas China menubuhkan daerah pentadbiran baharu untuk rangkaian pulau Spratly dan Paracel yang menjadi pertikaian. Notis itu menyenaraikan nama dan koordinat terhadap 80 pulau, terumbu, dasar laut, beting dan rabung, di mana 55 daripadanya berada di dalam laut.

Felo Bersekutu Badan Pemikir Britain, Chatham House, Bill Hayton berkata: “Tidak ada negara yang boleh menuntut kedaulatan ke atas ciri di bawah laut melainkan ia berada dalam jarak 12 batu nautika dari daratan. Oleh itu, adakah China tidak mengetahui hal ini atau sengaja cuba membatalkan Undang-undang Antarabangsa? China meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang sangat jelas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dituntut oleh negara sebagai wilayah. Namun China nampaknya menentang UNCLOS dengan menegaskan kedaulatan di tempat yang sangat jauh”.

Ternyata, dalam keadaan China meratifikasi Konvensyen PBB sekali pun, mereka masih bertindak unilateral melalui kekuatan ketenteraan. Maka tidak hairanlah jika Amerika menggunakan alasan sedemikian untuk hadir ke perairan kita.

Maka kenyataan akhbar Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang baru diedarkan semalam amat kritikal. Memetik antara kenyataan bertarikh 23 April 2020 berkenaan di South China Sea Outpost: “Malaysia menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan dan haknya di Laut China Selatan. Malaysia berpandangan bahawa Laut China Selatan perlu kekal sebagai laut yang aman bagi laluan perdagangan. Maka, segala perkara yang berkait dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berasaskan prinsip Undang-undang Antarabangsa, termasuklah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS) 1982”.

Datuk Seri Hishammuddin juga mengingatkan: “Sebagai bekas Menteri Pertahanan, saya benar-benar mengambil maklum dan sedar dengan situasi semasa. Kita mesti menghindari insiden kemalangan yang tidak disengajakan di perairan ini. Meski pun Undang-undang Antarabangsa menjamin kebebasan pelayaran, kehadiran kapal-kapal perang di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan yang boleh mengakibatkan kesilapan perkiraan serta memberi kesan kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini”.

Datuk Seri Hishammuddin menutup kenyataan akhbar beliau seperti berikut: “Pendirian kami adalah bahawa sebarang pertikaian seharusnya diselesaikan dengan cara muhibah melalui kaedah yang aman, diplomasi, dan kepercayaan bersama antara kesemua pihak yang terlibat. Hanya kerana kami tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai isu ini tidaklah bermakna kami tidak mengusahakan segala langkah di atas, kami telah mengusahakan komunikasi terbuka dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat, termasuklah Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat”.

 

2 Comments