Semporna akan terus pilih BN
21:12 Dec 27, 2017  |  By SabahKini2
Semporna akan terus pilih BN

SEMPORNA- Pengundi di Semporna akan kekal memilih Barisan Nasional kerana sejak kewujudan parti itu penduduk di Semporna menikmati manfaat bantuan serta mengecapi pelbagai peringkat pembangunan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran berkata pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak, BN yakin mempertahankan semua kerusi di tiga Dewan Undangan Negeri di Semporna merangkumi Sulabayan, Senallang dan Bugaya serta kerusi Parlimen Semporna.

"Pada peringkat awa, ada pihak menganggap Semporna sebagai kawasan gelap kerana melihat pada PRU lepas, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memegang tiket sebagai calon UMNO ketika itu menang besar, namun itu kerana rakyat menyokong parti dan bukan peribadi," katanya.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Senallang berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Kasih ke Pulau Selakan, Larapan, Pababag dan Pulau Bait di sini.

Mengenai program itu, Nasir berkata jelajah kasih itu merupakan usaha santai dan berinformasi UMNO Semporna dalam mendekati rakyat.

Sementara itu, Ketua Kampung Pulau Selakan, Kapital Pata, 57, berkata lebih 200 pengundi di pulau itu kekal menzahirkan undian kepada kerajaan BN pada PRU-14 kerana jasa BN yang memberi pembangunan berperingkat di Pulau Selakan.

"Kerajaan membawa masuk bekalan elektrik dan air di pulau ini, selain pembinaan surau, rumah program perumahan rakyat termiskin (pprt), dewan serbaguna serta sekolah untuk pelajar tahap satu yang dilengkapi perpustakaan serta rumah guru," katanya.

Dalam pada itu Ketua Kampung Pulau Larapan, Duglayan Hawaian, 57, turut percaya 100 peratus pengundi di kampung itu memilih BN pada PRU ke-14 kerana jasa kerajaan yang besar dalam membangunkan pulau itu serta menyediakan kemudahan termasuk pembinaan dewan mini, surau, jalan berturap, pembinaan rumah di bawah program perumahan rakyat termiskin dan program bantuan rakyat.

Duglayan dan Kapital senada memohon agar dibina sebuah klinik kesihatan di pulau masing-masing kerana faktor perjalanan jauh untuk penduduk ke pekan Semporna sekiranya berlaku kecemasan dan klinik bergerak sedia ada hanya datang secara berjadual iaitu seminggu dua kali.

-- BERNAMA

Comment