Ricky Wong Pengasas Asia Media Group Bhd diburu SC, Interpol
15:04 Apr 27, 2020  |  By SabahKini2
Ricky Wong Pengasas Asia Media Group Bhd diburu SC, Interpol

Pengasas syarikat Asia Media Group Bhd itu dikehendaki berhubung dengan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC)  meminta bantuan Interpol untuk mencari Wong Shee Kai atau Ricky Wong.

Pengasas syarikat Asia Media Group Bhd itu dikehendaki berhubung dengan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Dalam satu kenyataan, SC berkata, pihaknya juga memohon maklumat atau bantuan daripada orang ramai untuk mengesan Shee Kai yang kini masih bebas.

"Pada 3 April lalu SC juga telah meminta bantuan Interpol untuk mencari Shee Kai. Pencarian itu dilakukan setelah waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 27 Disember 2019 kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 32(3)(a) AMLATFPUAA.

"Sekiranya didapati melanggar seksyen 32(3)(a) AMLATFPUAA, Shee Kai jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, di bawah seksyen 32(8) Akta yang sama," kata SC.

Ia berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Shee Kai diminta memaklumkan kepada SC di mana dia berada dengan menghubungi talian 012-3812497 / 012-9105362 atau menghantar e-mel kepada SC melalui [email protected].

"Maklumat yang diterima daripada orang ramai akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Akta ini melindungi pemberi maklumat dengan memastikan maklumat yang diterima dirahsiakan, dan memberi imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan," katanya

Comment