Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara
23:04 Apr 30, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara

Secara amnya, bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terkawal, namun terdapat keperluan untuk kedudukan sekuriti makanan negara diteliti dan ditambah baik

PUTRAJAYA, 30 April -- Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara telah ditubuhkan bagi menyelaras strategi serta pelan tindakan dalam menangani isu sekuriti makanan negara untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata hasil mesyuarat Kabinet semalam bersetuju agar Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dirangka bagi memperkukuh keselamatan makanan di semua peringkat rantaian makanan.

“Secara amnya, bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terkawal, namun terdapat keperluan untuk kedudukan sekuriti makanan negara diteliti dan ditambah baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kiandee berkata jawatankuasa itu akan mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta petani, penternak dan nelayan.

"Ini bagi memastikan dasar yang dirangka adalah bersifat komprehensif dan mampu membantu kerajaan menangani isu sekuriti makanan secara berkesan," katanya.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Menteri Kesihatan; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Menteri Pengangkutan; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

"Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ini bertepatan dalam menjamin tahap sekuriti makanan sentiasa berada dalam keadaan stabil dari aspek ketersediaan, mudah diakses, selamat dan mampu diperoleh rakyat sepanjang masa, dalam apa jua keadaan pada masa hadapan," katanya.

Menurut Kiandee, Dasar Sekuriti Makanan Negara itu kelak akan melengkapi Dasar Agromakanan 2.0 yang sedang digubal oleh kementeriannya ketika ini, serta selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

-- BERNAMA

Comment