Lebih 60 dewan perniagaan desak negeri buka perniagaan akur PKPB
00:05 May 06, 2020  |  By SabahKini2
Lebih 60 dewan perniagaan desak negeri buka perniagaan akur PKPB

Tiada takut dan gentar dengan ugutan kerajaan negeri, lebih 60 dewan perniagaan mengkritik kerajaan negeri yang tidak patuh PKPB. Rantaian ekonomi perlu digerakkan elak pengangguran

Susulan beberapa negeri engkar atau sengaja berdolak dalih enggan membenarkan perniagaan beroperasi semula, selain Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu kini 59 dewan perniagaan dan persatuan industri tampil menyokong keputusan Kerajaan PN melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dalam kenyataan bersama, pengerusi persatuan terbabit menggesa kerajaan negeri akur keputusan kerajaan pusat supaya menggerakkan semula ekonomi dengan berkata, rantaian perbekalan adalah saling berkait antara negeri.

Mereka menyuarakan keyakinan bahawa keputusan Putrajaya diambil berdasarkan data tepat dan pertimbangan mendalam berkaitan kepentingan awam dengan kesihatan ekonomi.

Perniagaan dan industri adalah sisi penting ekonomi dan kesejahteraan awam Malaysia dan mesti dibenarkan berfungsi tanpa gangguan, katanya.

“Kita perlu selamatkan berjuta-juta pekerjaan dan menjamin kelangsungan perniagaan dari sekarang.

“Namun kita hanya boleh melakukannya sekiranya semua pihak bersatu dan mengambil langkah tepat dalam menjamin penerusan perniagaan dan melindungi kesejahteraan rakyat.”

Mereka berkata, firma tidak lagi mampu ditutup kerana mereka perlu menunaikan obligasi kewangan masing-masing, selain menambah bahawa ia juga untuk menjamin kehidupan orang ramai dengan memastikan mereka terus mempunyai pekerjaan.

Ia berkata, mereka komited dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) industri dipatuhi dan menjamin kesihatan serta keselamatan pekerja.

Hilang pekerjaan

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta rakyat akan kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19 ini.

Lebih memburukkan keadaan, anggaran ini dibuat berdasarkan tempoh 1 bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ini bermakna, dengan lanjutan PKP yang baru diumumkan sehingga 12 Mei, jumlah tersebut juga berkemungkinan meningkat.

Awal April lalu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan hasil kaji selidik Impak Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Individu dan seramai 168,182 responden mengambil bahagian dari seluruh negara.

Berdasarkan kajian tersebut, hampir 47% pekerja yang bekerja sendiri kehilangan pekerjaan – lebih kurang 19,677 responden. Manakala bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, 35.5% dilaporkan mengalami penurunan pendapatan melebihi 90%.

Jika peratusan tersebut diambil dalam skala sebenar, ini bermakna daripada 2.86 juta pekerja yang bekerja sendiri, 1.34 juta pekerja kehilangan pekerjaan, dan hampir 540,000 lagi mengalami kejatuhan pendapatan melebihi 90%.

Ini baru mengambil kira mereka yang bekerja sendiri, belum lagi dihitung mereka yang bekerja dengan majikan.

Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebelum ini mengingatkan kerajaan negeri supaya mematuhi dasar Putrajaya membuka semula aktiviti ekonomi dengan berkata, tindakan (kerajaan negeri) tidak dibuat “berdasarkan bidang kuasa sah”.

[ARTIKEL BERKAITAN- Negeri perlu patuhi PKPB elak disaman berbilion ringgit pihak industri ]

Negeri perlu patuhi PKPB elak disaman berbilion ringgit pihak industri

Beliau berkata, dasar kerajaan persekutuan telah menjadi undang-undang, sekali gus membenarkan ia dikuatkuasakan di seluruh negara.

Azmin juga mengingatkan kerajaan negeri bahawa mereka mungkin berdepan tindakan undang-undang daripada perniagaan.

Kerajaan Warisan Sabah akan U-Turn?

Terdahulu kerajaan negeri Sabah dan Pulau Pinang menyatakan akan terus mematuhi perintah kawalan pergerakan asal (PKP) walaupun tahu penjawat awam front liners seperti polis, tentera dan pegawai KKM di bawah Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun rekod menunjukkan Kerajaan negeri Sabah akan U-turn selepas tekanan pemain industri ataupun selepas Kerajaan Sarawak bersetuju.

Sementara itu Kerajaan Sarawak bersetuju menuruti perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), tetapi hanya prosedur operasi standard (SOP) yang didapati sesuai dengan negeri itu akan dilaksanakan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, aktiviti yang tidak lagi disekat di bawah PKPB akan dijalankan “mengikut cara yang tidak akan membahayakan perlindungan kesihatan awam”.

“Kita akan kaji semua SOP (yang digariskan oleh kerajaan persekutuan), tetapi hanya akan mengguna pakai yang sesuai dengan negeri,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Douglas Uggah Embas pada taklimat media hariannya semalam

 

 

5 Comments