Armada Sabah, Terengganu, Perak sokong Muhyiddin, tolak Bersatu kembali kepada PH
18:05 May 06, 2020  |  By SabahKini2
Armada Sabah, Terengganu, Perak sokong Muhyiddin, tolak Bersatu kembali kepada PH

Armada Sabah, Terengganu dan Perak bertindak menolak Syed Saddiq yang mahu Bersatu kembali dengan Pakatan Harapan (PH). Mereka nekad menyokong Muhyiddin PM..

Keputusan Pemuda Bersatu (Armada) untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak dipersetujui pemimpin Armada Sabah, Terengganu dan Perak

Ketua Armada Sabah, Isquzawan Israq Arsit, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya pendirian itu kerana ramai ketua Armada bahagian tidak diberitahu mengenai hasrat Armada Pusat dalam hal tersebut.

"Pendirian Armada Sabah ialah tidak bersetuju. Ia bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco Armada Pusat, sebaliknya mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media Armada Bersatu Malaysia itu sebenarnya merupakan Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan Armada Bersempena Ramadan 2020 dan Perjumpaan Bersama Pengerusi Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.

Senada dengan Sabah, Ketua Armada Terengganu Syaiful Irfan Anang menegaskan, pendirian Armada Terengganu tetap bersama presiden parti selain tidak mahu bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong Perikatan Nasional.

Sementara itu Ketua Armada Perak Mohd Hafez Mubin  Mohd Salleh bersama 23 Ketua-Ketua Armada Bersatu Bahagian Perak terus menyatakan sokongan penuh kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Perikatan Nasional. Armada Bersatu Perak juga menyokong atas segala usaha YAB Tan Sri Presiden Bersatu dalam usaha memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional.

Armada Bersatu Perak juga mahu menyatakan bahawa pengkhianat kepada Pengerusi Bersatu Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Pakatan Harapan yang didokongi oleh PKR, DAP dan Amanah bila mana ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama dalam gabungan Pakatan Harapan, kebanyakan pemimpin ketiga-tiga parti ini terutamanya DAP dan PKR tidak berhenti-henti mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya ketika itu.

“Antara bukti jelas pengkhianatan parti komponen Pakatan Harapan terhadap Bersatu ialah rakaman video seorang ADUN DAP Perak yang membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu selaku Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak semasa Kerajaan Pakatan Harapan Perak memerintah”.

Armada Pusat hari ini dilaporkan menyokong agar Bersatu kembali bekerjasama dengan PH selain menyatakan sokongan terhadap pendirian pengerusi mereka, Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.

Dijangka 11 Ketua Armada dibeberapa negeri juga akan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Malaysia.

 

1 Comment