Riza Aziz dilepas: SPRM bertegas Tommy Thomas buat keputusan setuju tawaran Riza
18:05 May 14, 2020  |  By SabahKini2
Riza Aziz dilepas: SPRM bertegas Tommy Thomas buat keputusan setuju tawaran Riza

Lepas tanpa bebas adalah keputusan yang dipersetujui oleh Tommy Thomas bekas Peguam Negara. Sekalipun Tommy menafikan namun SPRM kekal bertegas itu merupakan keputusan pasukan pendakwaan yang diketuai Thomas.

KUALA LUMPUR: Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Riza didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram RM 1.25 bilion (US$248 juta) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Azman Ahmad selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Hari ini (Khamis) sepatutnya dijadualkan bagi pengurusan kes terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa sejak tertuduh didakwa, beliau sudah beberapa kali mengemukakan permohonan representasi.

Menurut Sri Ram, beberapa keputusan berjaya dicapai selepas representasi itu diteliti dan dipertimbangkan.

Sri Ram turut berkata, melalui terma yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

"Jumlah wang terbabit adalah merujuk kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini ... tertuduh sepanjang proses ini menerima perwakilan perundangan yang kompeten dan mencukupi.

"Kesan daripada persetujuan itu, pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh tidak akan diteruskan sementara menunggu terma persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

"Pihak pendakwaan melalui keizinan tertuduh dengan ini memohon perintah daripada mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh," kata Sri Ram

Bagaimanapun kata Sri Ram, pihak pendakwa berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu.

Selepas membacakan kenyataan itu, Azman kemudian melepas dan membebaskan tertuduh dan mengarahkan wang jaminan RM1 juta dengan dua penjamin dikembalikan.

SPRM sahkan persetujuan bekas Peguam Negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pelepasan Riza bersyarat, di mana pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

Putrajaya dijangka mendapatkan kembali aset dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) selepas penerbit Hollywood, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan hari ini.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan, iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang mana ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.”

Katanya, persetujuan itu dipertimbangkan dan dipersetujui bekas peguam negara, Tommy Thomas.


Gopal Sri Ram ‘sailang’ Tommy Thomas?

Sementara itu bekas peguam negara Tommy Thomas menafikan bahawa beliau bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membatalkan pertuduhan jenayah pengubahan wang haram terhadap Riza Aziz.

Beliau memberi respon terhadap kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjelaskan perkara yang menyebabkan Mahkamah Sesyen membatalkan pertuduhan terhadap anak tiri Najib Razak hari ini.

Menjawab perkara ini, Thomas mengatakan bahawa beliau menyedari bahawa peguam Riza Aziz telah membuat kenyataan bertulis kepada Jabatan Peguam Negara mengenai kes tersebut. Perwakilan sedemikian biasanya dibuat oleh peguam bagi pihak tertuduh dan merupakan amalan biasa di kebanyakan bidang kuasa.

Menjelaskan rentetan peristiwa tersebut, Thomas berkata bahawa pegawai khasnya di Jabatan Peguam Negara, Cik Rahayu Mamuzaini telah memaklumkan kepadanya berhubung perwakilan bertulis yang dibuat oleh peguam Riza.

Setelah meneliti isi kenyataan bertulis tersebut, bekas peguam negara itu mengatakan bahawa beliau menyerahkan dokumen-dokumen itu kepada Gopal Sri Ram, pendakwa raya yang mewakili pihak pendakwaan ke atas Riza bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Menurut Thomas, kebiasaan, Sri Ram akan memeriksa perwakilan peguam Riza, ia hanya setakat itu sahaja dan tidak ada apa-apa makluman setelah perkara tersebut.

“Saya sangat kecewa kerana SPRM terpaksa memberikan kenyataan palsu ini”


SPRM bertegas Tommy Thomas terlibat

Bagaimanapun menjawab kenyataan Tommy Thomas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas bahawa keputusan terhadap penyelesaikan kes mahkamah membabitkan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz, mendapat persetujuan Tommy Thomas yang ketika itu berkhidmat sebagai peguam negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata ia merupakan keputusan pasukan pendakwaan yang diketuai Thomas.

“Ini adalah kes yang sedang berjalan di mahkamah, jadi apa-apa saja keputusan dibuat timbalan pendakwa raya.

"Kami hanya maklumkan kepada masyarakat umum mengenai apa yang berlaku saja. Itu saja," katanya

Menurut SPRM permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Riza itu dibuat pada 5 Julai 2019.

"Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas," katanya. 

Azam berkata pihaknya tetap mempertahankan kenyataan yang dibuat SPRM

“Tidak mengapalah kalau bekas peguam negara hendak nafikan perkara itu, ia terpulang kepadanya. Saya OK dan kami teguh dengan kenyataan kami,” katanya.

 

 

1 Comment