Undi tidak percaya PH lebur, Lebih 114 orang MP PN sokong Muhyiddin PM
08:05 May 18, 2020  |  By SabahKini2
Undi tidak percaya PH lebur, Lebih 114 orang MP PN sokong Muhyiddin PM

Malam tadi menurut sumber sudah ada 118 kerusi menyokong Tan Sri Muhyiddin namun berdasarkan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan 114 ahli Parlimen berada di blok kerajaan.

KUALA LUMPUR: Tanda tanya sudah terjawab. Nampaknya undi Tidak Percaya Pakatan Harapan terhadap Tan Sri Muhyiddin tidak relevan lagi apabila Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan seramai 114 ahli Parlimen duduk di blok kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dengan itu terbukti Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Malam tadi menurut sumber sudah ada 118 kerusi menyokong Tan Sri Muhyiddin namun berdasarkan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan 114 ahli Parlimen berada di blok kerajaan.

Manakala 107 ahli Parlimen, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad duduk di blok pembangkang.

Antara ahli Parlimen PPBM pro-Mahathir yang turut berada di blok pembangkang ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan jumlah wakil rakyat di blok kerajaan melebihi 114.

“Saya tidak ada maklumat lengkap, tapi lebih daripada 114 (ahli Parlimen) di blok kerajaan,” katanya

Agong Perjelas kedudukan Pelantikan Muhyiddin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menjelaskan apa yang berlaku dalam krisis politik pada Februari lepas apabila secara tiba-tiba bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya secara tiba-tiba pada 24 Februari 2020 yang lalu.

 

Baginda bertitah bahawa baginda telah berkenaan menerima menghadap Dr Mahathir pada pukul 5 petang hari yang sama untuk meminta beliau tidak meletakkan jawatan tapi Dr Mahathir tetap dengan keputusannya.

“Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat,” menurut titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga menjelaskan pada 25 dan 26 Februari baginda telah bertemu secara berseorangan dengan semua Ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, beta telah menitahkan semua parti-parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati yang amat berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,” menurut baginda.

Sultan Abdullah dalam ucapannya memberi peringatan tegas kepada ahli politik kerana yakin rakyat akan terus erat, bersatu padu dan bersepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Beliau bimbang mengenai polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini dan mahu sebarang bentuk provokasi, serta fahaman dan nilai yang bertentangan dengan norma, adat, dan undang-undang dibendung “sebelum ia merebak dan menjadi barah”.

“Biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di dewan yang mulia ini”, kata Sultan Abdullah kepada ahli Parlimen.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya.

 

 

9 Comments