Ketua Audit Negara positif Covid-19, PM, semua pegawai kanan terpaksa kuarantin 14 hari
01:05 May 23, 2020  |  By SabahKini2
Ketua Audit Negara positif Covid-19, PM, semua pegawai kanan terpaksa kuarantin 14 hari

Dalam pada itu, semua ahli mesyuarat tersebut termasuk Pegawai Kanan SPRM juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang semalam selepas menjadi kontak rapat Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lalu yang turut dihadiri Ketua Audit Negara dan Ketua-ketua Jabatan utama.

"Perdana Menteri menjalani ujian saringan Covid-19 pagi tadi dan disahkan negatif.

"Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini," katanya menerusi satu kenyataan pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, semua ahli mesyuarat tersebut termasuk Pegawai Kanan SPRM juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

"Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular satu memo daripada Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mengesahkan beliau disahkan positif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin di hospital.

 

Menurut memo tersebut Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Khalid Khan Abdullah Khan diberikan tanggungjawab untuk mengambil alih tugas sebagai Ketua Audit Negara bagi memastikan tugas-tugas di jabatan itu berjalan dengan lancar dan teratur.

Selain itu, tugas pengauditan kewangan dan tabdir urus masing-masing dikendalikan Timbalan Ketua Audit Negara (tadbir Urus), Datuk Johari Ismail, manakala tugas pengurusan dikendalikan oleh Pengarah Sektor Pengurusan, Putra Nurwan Shah Baharuddin.

 

 

Comment