Saman RM557.6 juta: SPRM didesak siasat Timbalan Ketua Menteri arah syarikat Kerajaan Negeri tarik kes
06:05 May 28, 2020  |  By SabahKini2
Saman RM557.6 juta: SPRM didesak siasat Timbalan Ketua Menteri arah syarikat Kerajaan Negeri tarik kes

Mahkamah Tinggi Tawau memerintahkan Christina Liew membayar ganti rugi RM557,641,716.29. Mahkamah juga tolak 'bukti baru'. Kini Christina menggunakan kuasa TKM arah syarikat Borneo Samudera tarik kes. SPRM tidak boleh berdiam diri!

Kedua-dua plaintif yang mendapat perintah untuk menghalang pemindahan tanah pekebun kecil di skim tanah Lahad Datu Bagahak telah mengulangi bantahan tegas mereka terhadap percubaan Kerajaan Negeri Sabah untuk menarik balik perintah mereka.

Pekebun Kecil Andurangan Bin Tubay, 71 tahun, dan Ettin Bin Ali, 83 tahun, kedua-duanya pesara, telah mendapat injunksi pada Oktober 2018 terhadap Borneo Samudera Sdn. Bhd. Dan Bagahak Plantations Sdn. Bhd, dua-duanya dimiliki oleh Kerajaan Negeri Sabah, untuk menghentikan penandatanganan "Perjanjian Penyelesaian menyeluruh (global settlement Agreement)" yang secara efektif akan memindahkan tanah di Bagahak kepada pihak ketiga yang merupakan kepentingan swasta.

Seorang ahli keluarga pekebun kecil tersebut, Dato' Shuaib Bin Dato' Mutalib, berkata bahawa kedua-dua plaintif telah dipanggil dalam masa yang singkat untuk bertemu dengan pihak pengurusan Borneo Samudera di pejabat syarikat tersebut di Kota Kinabalu pada pagi ini, yang merupakan hari pertama bekerja selepas Cuti perayaan Hari Raya.

"Pekebun kecil dan peguam mereka telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak bersetuju terhadap usaha GLC (syarikat yang berkaitan dengan pemerintah) untuk mengetepikan perintah tersebut karena perintah tersebut adalah satu-satunya perlindungan hukum yang boleh diharapkan oleh pekebun kecil untuk melindungi kepentingan tanah mereka.

Tanah ini sudah dibangunkan sepenuhnya dan telah menghasilkan buah dan memberikan pendapatan bagi pekebun kecil dan keluarga, yang semuanya berasal dari Sabah ”, kata Dato Shuaib dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami meminta agar Kerajaan Negeri Sabah melindungi kami, pekebun kecil yang merupakan rakyat Sabah yang tulen. Kami khuatir bahawa seorang Timbalan Ketua Menteri mungkin memberi tekanan politik pada Borneo Samudera dan Bagahak Plantations untuk menandatangani Perjanjian Penyelesaian menyeluruh dan kemudian memindahkan hak tanah kami.

Penghakiman oleh Mahkamah Tinggi Tawau telah dibuat pada tahun 2014 telah membatalkan perjanjian penjualan haram yang telah dilakukan oleh Datuk Christina Liew yang kini merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Perjanjian Penyelesaian menyeluruh  yang kini dipaksa oleh Borneo Samudera Sdn. Bhd., Sebuah syarikat kerajaan 100% milik Kerajaan Negeri Sabah secara efektif akan mengembalikan perjanjian penjualan haram itu.

Mahkamah tidak benarkan Christina Liew TKM Sabah, kemuka bukti baru

Februari lalu Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew dan Siti Rahfizah Mihaldin tidak dibenarkan mengemukakan bukti baru dalam permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi sejumlah RM557.6 juta.

Keputusan yang dibuat oleh lima panel hakim Mahkamah Persekutuan di Kota Kinabalu mengatakan bahawa pemohon gagal memenuhi keperluan undang-undang untuk mengemukakan bukti baru.

Pemohon, Liew dan Samsuri Baharuddin diperintahkan untuk membayar kos RM30,000.

Pada 2014, Liew, bekas keraninya Siti Rahfizah Mihaldin dan Samsuri diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM557,641,716.29 oleh Mahkamah Tinggi Tawau. Daily Express ketika itu melaporkannya jumlah denda terbanyak yang pernah diperintahkan oleh mahkamah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kes saman RM557.6j: Mahkamah tidak benarkan Christina Liew TKM Sabah, kemuka bukti baru ]

Kes saman RM557.6j: Mahkamah tidak benarkan Christina Liew TKM Sabah, kemuka bukti baru

Mahkamah Rayuan akan memberi peluang untuk mendengar penghakiman keputusan pada 16 Jun 2020.

Oleh itu terdapat usaha daripada Datuk Christina Liew menggunakan kuasa Timbalan Ketua Menterinya mengarahkan Borneo Samudera dan Bagahak Plantations menarik balik kes.

“Kami meminta agar Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Menteri Kabinet, membiarkan proses pengadilan berjalan lancar. Jangan memberi tekanan politik untuk menghentikan proses pengadilan, ” kata Datuk Shuaib.

Desak siasatan SPRM

Sejak 2018 SPRM telah didesak untuk menyiasat dengan teliti kes melibatkan Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB) dan ahli-ahli skim pekebun kelapa sawit Bagahak di Lahad Datu.

Sekumpulan aktivis juga telah membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat kes ini secepat mungkin kerana keputusan itu telah ditangguhkan dari tahun 2014 hingga 2018 setelah menerima maklumat daripada pekebun kecil di Lahad Datu yang mendapati gangguan politik yang terlibat di mana kes yang sebelum ini dimenangi oleh Borneo Samudera Sdn Bhd dipercayai ditarik balik.

Campurtangan politik ini boleh menjejaskan kepentingan Borneo Samudera Sdn Bhd anak syarikat syarikat berkaitan kerajaan Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan pekebun kecil yang terlibat.

Datuk Christina Liew akan menggunakan kuasanya mempengaruhi  Borneo Samudera Sdn Bhd bagi menyelamatkan dirinya sebelum 16 Jun 2020 ini.

Datuk Seri Azam Baki Ketua Pesuruhjaya SPRM diharap menyiasat dan meneliti kes ini semula.  Keputusan mahkamah jelas agar membayar ganti rugi sebanyak RM557,641,716.29.

Mengapa perlu ‘kawtim’ lagi. Ini jelas salah guna kuasa dari seorang pemimpin Pakatan Harapan (PKR). Kerajaan Persekutuan wajar campur tangan kes ini mengelakkan Christina melepas diri dari hukuman dan akhirnya rakyat rugi.

 

 

 

11 Comments