Au Kam Wah Gerakan tidak tanding cadang Chan Tzun Hei calon Elopura
13:12 Dec 31, 2017  |  By SabahKini2
Au Kam Wah Gerakan tidak tanding cadang Chan Tzun Hei calon Elopura

KAM Wah (kanan) dan Tzun Hei yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Sabah dalam sidang media

Datuk Au Kam Wah cadang pengganti Chan Tzun Hei Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Elopura merangkap Setiausaha Perhubungan Negeri dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat, Chan Tzun Hei, 34 tahun.

SANDAKAN, 30 Dis - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Datuk Au Kam Wah hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang berumur 54 tahun mendedahkan, keputusan itu diambil selepas PRU13 bagi memberi peluang kepada generasi muda yang diyakini lebih baik, bertenaga dan berkualiti.

"Keputusan itu bukan bermakna saya tidak terlibat dalam bidang politik sebaliknya akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

"Pada saya ini adalah masa yang sangat sesuai untuk beri peluang kepada golongan generasi muda yang lebih berilmu pendidikan dan mempunyai hasrat yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya ketika bercakap kepada pemberita di sini, hari ini.

Au menceburi bidang politik sejak tahun 1985 iaitu ketika berumur 22 tahun seterusnya berjaya menyandang jawatan sebagai ADUN Elopura sejak 2004 dan telah menang sebanyak tiga penggal.

Dalam pada itu, Au berkata pemimpin generasi muda yang lebih bertenaga dan komited diperlukan untuk meneruskan perjuangan di DUN Elopura demi kesejanteraan rakyat pada masa akan datang yang semakin mencabar.

Sementara itu, katanya calon cadangan bagi menggantikannya di DUN Elopura telah dimaklumkan kepada Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman serta calon itu merupakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Elopura merangkap Setiausaha Perhubungan Negeri dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat, Chan Tzun Hei, 34 tahun.

Menurutnya walaupun melantik calon bukan kuasa beliau tetapi beliau mempunyai cadangan yang tersendiri, yang pada beliau pemuda itu merupakan pemuda yang bertanggungjawab kepada  tugas dan juga masyarakat.

Menurutnya sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin masyarakat khususnya ADUN Elopura nanti akan meneruskan perjuangan BN bukan sahaja pada PRU akan datang tetapi akan terus membawa pembangunan berkesan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi BN di DUN Elopura serta kepada Musa kerana memberi kepercayaan dan sokongan berpanjangan ke atas dirinya selama ini.

-- Sumber asal BERNAMA

Comment