Sabah Terus Laksana Projek Pembangunan Utama Pada 2018
14:12 Dec 31, 2017  |  By SabahKini2
Sabah Terus Laksana Projek Pembangunan Utama Pada 2018

"Saya menyeru kepada semua untuk merapatkan barisan dan memberi fokus kepada agenda kerjasama kita dalam usaha membangunkan Sabah."

KOTA KINABALU, 31 - Kerajaan negeri Sabah akan terus melaksanakan projek pembangunan utama yang memberi manfaat kepada rakyat pada 2018, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu, beliau berkata ini termasuk projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo, pengeluaran hak milik tanah adat dan memastikan Mini Estet Sejahtera (Mesej) mencapai matlamat yang ditetapkan.

"Selaras dengan itu, menjadi visi kami (kerajaan negeri) untuk melihat perumahan berkualiti dan mampu milik buat rakyat Malaysia di Sabah dan kami sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan pendidikan dan penjagaan kesihatan tetap menjadi keutamaan."

"Saya menyeru kepada semua untuk merapatkan barisan dan memberi fokus kepada agenda kerjasama kita dalam usaha membangunkan Sabah."

Usah biarkan pemikiran sempit menutup minda kita kerana kita perlu bekerjasama dengan semua pihak di negara ini untuk menikmati kemajuan," katanya sambil menggesa rakyat supaya mengukuhkan perpaduan bagi membolehkan kemajuan terus dinikmati di negeri ini.

Musa berkata sejak beberapa dekad lalu, Sabah telah melalui transformasi untuk muncul sebagai negeri yang semakin kompetitif di Malaysia dan rantau ini.

Ini adalah hasil usaha berterusan dalam meningkatkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, mengekalkan kestabilan politik dan memastikan pembangunan dapat dikecapi oleh golongan yang paling memerlukan, katanya

Program transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi selari dengan pelbagai dasar yang diperkenalkan sejak beberapa dekad lepas.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia berada dalam landasan yang betul ke arah mencapai kemajuan yang lebih baik dan pembangunan yang lebih saksama di seluruh negara,” katanya.

Musa berkata pelbagai program dilaksanakan bagi menonjolkan kekuatan Malaysia dan kini hasilnya dinikmati oleh negara dan rakyat.

 

Comment