Pertuduhan Politik, ICAC Hongkong sudah bersihkan nama Musa 2011
05:06 Jun 10, 2020  |  By SabahKini2
Pertuduhan Politik, ICAC Hongkong sudah bersihkan nama Musa 2011

Amer Hamzah Arshad berkata, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong memaklumkan Musa, melalui sepucuk surat bertarikh 22 Dis 2011 yang tiada tindakan lanjut akan diambil terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa anti-rasuah di Hong Kong membersihkan nama Musa Aman seawal 9 tahun lalu, kata seorang peguam bekas ketua menteri Sabah itu susulan keputusan pihak pendakwaan hari ini menarik balik 46 pertuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang.

Amer Hamzah Arshad berkata, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong memaklumkan Musa, melalui sepucuk surat bertarikh 22 Dis 2011 yang tiada tindakan lanjut akan diambil terhadapnya.

“Hasil siasatan oleh ICAC jelas menunjukkan anak guam kami tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah. Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut dibuat ICAC terhadap anak guam kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Amer berkata, pendakwaan terhadap Musa pada November 2018 berhubung kontrak konsesi balak di Sabah tidak berasas, dan difailkan ketika beliau terbabit dalam saman sivil berkaitan ketua menteri yang sah selepas pilihan raya umum ke-14.

“Setelah sekian lama Musa disahkan tidak melakukan kesalahan rasuah oleh ICAC dan SPRM, pihak berkuasa atas sebab-sebab yang hanya mereka ketahui, telah membuat keputusan untuk menangkap dan mendakwa Musa 2 hari sebelum keputusan kes sivil dibuat.

“Tindakan ini secara langsung atau tidak langsung telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik beliau,” kata Amer dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri sekarang dan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

“Bukankah ini memberi indikasi pendakwaan terhadap Musa berniat jahat dan merupakan satu penganiayaan politik?” soalnya.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri semula sehari selepas PRU14 pada Mei 2018, tetapi beliau digantikan Shafie 2 hari kemudian. Shafie mengangkat sumpah selepas beberapa Adun Umno dan Upko menyokong Warisan.

Mac lalu, Musa memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk perisytiharan beliau ialah ketua menteri sah, selepas Mahkamah Rayuan pada November lalu menolak permohonannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi menolak tuntutannya.

Amer berkata, wang yang dinyatakan dalam pertuduhan itu datang daripada derma dan dana politik, serta sudah dijelaskan dalam siasatan dahulu.

“Segala dokumen yang relevan dan berkaitan telah dibekalkan kepada SPRM. Pada semua masa material, sumbangan politik tersebut tidak melibatkan mana-mana projek untuk Sabah, konsesi pembalakan dan bukan atas dasar balas-membalas.”

Katanya, transaksi untuk sumbangan politik bukan satu kesalahan dan ini turut disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 2017 yang berkata agensi anti-rasuah itu tiada bidang kuasa ke atas perkara demikian di Malaysia.

Beliau berkata, pihak pembelaan sudah mengemukakan fakta relevan untuk menyokong Musa, termasuk dokumen penting daripada ICAC dan afidavit bekas peguam negara, Abdul Gani Patail.

Katanya, pada 2011, Gani, Timbalan Peguam Cara Negara II, Abdul Majid Hamzah, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohammad dan Pengarah Bahagian Siasatannya, Mustafar Ali memutuskan tidak mendakwa Musa.

“Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui panel penilaian operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan melalui saluran undang-undang sedia ada.”

Beliau berkata, keputusan terdahulu yang dibuat pendakwa raya untuk tidak mendakwa Musa tidak patut dipandang ringan dan “tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya tanpa sebab kukuh”.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Musa selepas pihak pendakwaan menarik balik semua 46 pertuduhan terhadapnya.

Musa, yang merupakan ketua menteri dari 2003 hingga 2018, berdepan 35 pertuduhan rasuah pada 5 Nov 2018. Bagaimanapun, 5 daripada dakwaan itu digugurkan kemudian.

3 Comments