Janji Mahathir Sukar Dipercayai - Salleh
15:12 Dec 31, 2017  |  By SabahKini2
Janji Mahathir Sukar Dipercayai - Salleh

Mahathir pernah digelar Maha Firaun dan Maha Zalim oleh pembangkang tahun 1998 ketika zaman reformasi Anwar

KUALA LUMPUR, - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggambarkan janji terbaharu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula kebebasan bersuara sekiranya pembangkang membentuk kerajaan akan datang, sebagai 'sukar dipercayai'.

"Bagaimana Mahathir boleh berfikir bahawa beliau boleh melepaskan diri dengan kenyataan sedemikian apabila lebih banyak kebebasan bersuara sekarang ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding pada tahun 1980-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri," katanya dalam catatan di laman blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata Dr Mahathir telah menggelar Najib dengan pelbagai nama yang bersifat jahat, malah Dr Mahathir boleh menghadapi pendakwaan di bawah Akta Hasutan.

"Tetapi Najib tidak mengambil tindakan. Najib membenarkan Mahathir terus memfitnahnya, dan setiap hari Mahathir terus menghina Najib...Mahathir tidak akan bertolak ansur 10 peratus daripada apa yang dilakukannya terhadap Najib.

"Tiada bukti yang lebih besar daripada ini bahawa Najib adalah penyebar kebebasan bersuara. Jika tidak, Mahathir tidak dapat berbuat apa yang beliau lakukan dan mengatakan semua perkara yang beliau nyatakan hari ini," kata Salleh.

Dilaporkan Dr Mahathir membuat janji itu semasa mesyuarat agung tahunan pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang mana beliau adalah Pengerusinya, di Shah Alam, Selangor.

- BERNAMA
 
Nota: Mahathir pernah digelar Maha Firaun dan Maha Zalim oleh pembangkang tahun 1998 ketika Anwar di pecat. Reformasi Anwar sangat mengetahui kisah ini.

 

1 Comment