"Ada ramai lagi menyusul" dua ADUN UPKO umum keluar parti
05:06 Jun 16, 2020  |  By SabahKini2

Kerajaan Warisan, UPKO PH bakal tumbang tidak lama lagi?

Sidang Media James Ratib dan Limus Juri

KOTA KINABALU: Karma untuk Madius Tangau sudah bermula. Dua wakil rakyat Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Limus Jury dan Datuk James Ratib masing-masing mengumumkan keluar parti menjadi calon Bebas menyokong PN.

Limus adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu dan James ADUN Sugut.

Dalam sidang media hari ini, Limus yang menyandang jawatan naib presiden dan James merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UPKO menjelaskan mereka membuat keputusan itu kerana kerajaan negeri Sabah tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Serentak itu, mereka juga umumkan melepaskan semua jawatan dalam parti untuk menjadi ADUN bebas.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, UPKO mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang membentuk kerajaan negeri sekarang.

Limus berkata beliau telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang tidak konsisten dalam perjuangan dan hala tuju.

"Langkah terbaik yang perlu saya buat adalah meninggalkan UPKO demi kebaikan dan kemajuan rakyat dari kawasan saya.

"Saya yakin Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan lanskap di dalam negara dan Sabah khususnya.

"Selepas Pilihan Raya Umum (PRU)-14, UPKO telah dibawa oleh presiden untuk menyokong Kerajaan Persekutuan dan saya akur keputusan parti ketika itu.

"Baru-baru ini, UPKO tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan dan masih menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Justeru, saya dan rakan-rakan berpendapat adalah tidak wajar untuk terus-menerus menyokong kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di persekutuan," katanya.

James umum akan lebih ramai keluar, mereka memulakan

Dalam pada itu, James berkata sebelum ini beliau menyertai UPKO kerana melihat kerajaan negeri adalah sebahagian daripada persekutuan.

"Mengimbas kembali tindakan meninggalkan UMNO pada PRU lepas, saya melihat kerajaan negeri adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

"Namun, apabila pergolakan politik yang berlaku baru-baru ini, kerajaan negeri turut mengambil keputusan untuk tidak bersama PN.

"Setelah memikirkan secara mendalam dan rasional, langkah terbaik adalah meninggalkan parti dan kerajaan WARISAN serta menjadi ADUN yang bekerjasama dengan PN demi kebaikan dan kemajuan kawasan saya, Sugut.

"Saya yakin dalam sehari dua ini, lebih ramai akan menyusul keluar dari parti," katanya.

James turut menegaskan kerajaan negeri harus bekerja dengan Kerajaan Persekutuan untuk kebaikan rakyat dan pembangunan Sabah.

"Pada pandangan saya kerajaan negeri masih gagal. Tiada pembangunan yang dibuat selain hanya meneruskan pembangunan dulu," katanya.

Kedua-dua ADUN berkenaan turut menjelaskan buat masa ini mereka belum memutuskan parti mana yang akan disertai namun cenderung memilih parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Berikutan perkembangan itu, kerajaan negeri kekal di bawah WARISAN dan sekutunya DAP, PKR dan UPKO dengan jumlahnya 45 kerusi.

WARISAN mempunyai 33 kerusi, DAP (tujuh), UPKO (dua) dan PKR (dua) dalam DUN yang mempunyai 60 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya itu.

DUN Sabah turut mempunyai lima ADUN dilantik iaitu dua daripada WARISAN dan masing-masing satu mewakili UPKO, PKR dan DAP.

Pembangkang mempunyai 16 kerusi iaitu Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan sembilan kerusi, Parti Bersatu Sabah (PBS) (empat), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua), UMNO (satu) dan Bebas (dua).

30 Comments