Peter Anthony didakwa lagi pecah amanah bersubahat Michael Ubu
08:06 Jun 18, 2020  |  By SabahKini2
Peter Anthony didakwa lagi pecah amanah bersubahat Michael Ubu

Gagal hadir isnin lalu kini Peter Anthony hadir ke mahkamah untuk satu lagi pendakwaan kes Seksyen 409 dan 109.

Selepas gagal hadir ke mahkamah isnin lalu hari ini Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu.

Peter dituduh bersubahat dalam kes pecah amanah membabitkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15,545,400.

Peter bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 409 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, Peter didakwa bersubahat dengan Michael Percius Ubu yang berperanan sebagai ejen kepada RISDA melakukan kesalahan itu antara 22 Julai 2014 dan 19 November 2015 di Bervely Hills Plaza, Jalan Bundusan, Penampang.

Wang berjumlah RM15,545,400, itu didakwa dibayar melalui cek Bank Muamalat ke dalam akaun Ambank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Bayaran itu ialah 10 peratus daripada harga jualan bagi pembelian tanah ladang kelapa sawit seluas 6,768.688 ekar di Sg Pinangah dan Sg Labau, Tongod dan dengan curangnya melepaskan harta itu dengan melanggar kontrak dengan RISDA dan kesalahan berkenaan adalah hasil persubahatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya SPRM iaitu Mohamad Fadhly Mohamad Zambry, Nartiah F Mirchelle Sambatan, Amin Fakri dan Mohd Faliq Basarudin manakala Peter diwakili empat peguam iaitu Dominic Chew, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.

Pada 11 Jun lalu, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta.

[ARTIKEL BERKAITAN- Peter Naib Presiden Warisan 'Pencuri Wang RISDA' hadapi 5 pertuduhan RM8.75 juta]

[ARTIKEL BERKAITAN- Michael Ubu didakwa pecah amanah, AMLA libatkan wang RM19.5 Juta ]

 

 

 

5 Comments