BN Menang besar di PRK Chini, calon bebas hilang deposit
05:07 Jul 05, 2020  |  By SabahKini2
BN Menang besar di PRK Chini, calon bebas hilang deposit

BN diwakili calonnya, Mohd Sharim Md Zain, meraih 13,872 undi, mengatasi dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, hari ini dengan kemenangan besar 12,650 undi.

BN diwakili calonnya, Mohd Sharim Md Zain, meraih 13,872 undi, mengatasi dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi menyaksikan kedua-duanya hilang wang deposit.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli, di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Pahang sebentar tadi.

Proses pengundian di semua 13 pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Peratusan keluar mengundi sehingga 5.30 petang selepas 13 pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 73.87 peratus.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU-11 pada 2004.

DUN Chini, adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

 

1 Comment