PRK Chini: Kerjasama Muafakat Nasional, Perikatan Nasional hasilkan kejayaan luar biasa - Najib
05:07 Jul 05, 2020  |  By SabahKini2
PRK Chini: Kerjasama Muafakat Nasional, Perikatan Nasional hasilkan kejayaan luar biasa - Najib

"Berbaloi sebab kita nak majoriti besar di mana ia amat penting untuk kita kekalkan rekod (BN) Pahang... kita mula di Cameron Highlands dengan Muafakat Nasional (MN)...

PEKAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini disifatkan sebagai manifestasi kerjasama parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerjasama yang ditunjukkan gabungan parti itu membawa hasil kejayaan luar biasa.

"Berbaloi sebab kita nak majoriti besar di mana ia amat penting untuk kita kekalkan rekod (BN) Pahang... kita mula di Cameron Highlands dengan Muafakat Nasional (MN)... kini di Chini.

"Kita menang cemerlang. Saya ucap terima kasih Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana memberi sokongan kepada calon kita (Mohd Sharim).

"Ini bererti Muafakat Nasional disokong dengan Perikatan Nasional membawa kejayaan luar biasa," katanya ketika ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hilai pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan penghargaan kepada semua jentera parti yang menyokong BN sehingga berjaya mengekalkan kerusi tradisi itu.

Jelasnya, kejayaan di DUN Chini itu membuktikan bahawa BN masih relevan dan diterima rakyat.

"Ini adalah mesej penting kerana ada mendakwa BN tidak lagi releven... ia sebagai satu simbol pemerkasaan semula BN... saya yakin enam PRK telah jelas memberikan satu bukti bahawa BN itu bukan hanya relevan, malah Insya-Allah (mempunyai) masa depan agak cerah," kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, Mohd Sharim diumumkan memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 13,872 undi, menewaskan calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing hanya mendapat 1,222 dan 137 undi.

BN berjaya meningkatkan majoriti kemenangan di kerusi itu kepada 12,650 undi berbanding keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu (4,622 undi).AA

1 Comment