Demi kesihatan rakyat, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama kata Dr Adham
21:07 Jul 09, 2020  |  By SabahKini2
Demi kesihatan rakyat, Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama kata Dr Adham

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, semua pihak perlu mengetepikan segala perbalahan atau motif lain demi kesihatan rakyat.

KOTA KINABALU: Siapa kata Kerajaan Persekutuan memulaukan Kerajaan Negeri? Kerajaan Persekutuan memberi jaminan untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan dengan kerajaan negeri Sabah dalam isu-isu berkaitan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, semua pihak perlu mengetepikan segala perbalahan atau motif lain demi kesihatan rakyat.

"Oleh itu, kita membina hubungan baik bersama kerajaan Sabah dan jaringan inilah yang menyebabkan negara ini berjaya menurunkan kadar penularan Covid-19.

"Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri sangat memahami bagaimana penularan Covid-19 ini patut dielakkan.

"Malahan semua taklimat dan perkara yang dimaklumkan juga memang sudah dilaksanakan di peringkat negeri.

"Hal ini menunjukkan beliau sangat proaktif serta kini hanya perlu mengekalkan lebih banyak kawasan hijau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah Datuk Frankie Poon dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Adham merupakan menteri persekutuan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berkunjung ke Sabah dan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah.

Menurutnya, sejak memimpin Kementerian Kesihatan pada 10 Mac lalu, beliau sentiasa berinteraksi dengan Pengarah Kesihatan dan Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi memastikan apa juga maklumat dan ujian yang dilakukan dalam menangani Covid-19 dapat diselaraskan.

Dalam pada itu, Adham berkata kementeriannya akan melancarkan Program Memperkasakan Komuniti dan Kempen Kesedaran Terhadap Covid-19 pada 26 Julai hadapan yang akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sambutan di peringkat negeri juga ada dan ini bermakna kerjasama tinggi diberikan pihak kerajaan negeri sekaligus menunjukkan kita bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Menjelang pembukaan sekolah pada 15 Julai ini, Adham menyarankan semua sekolah untuk mematuhi penjarakan sosial satu meter melalui kedudulan susunan kerusi dan meja, menggunakan pelitup muka bagi yang bergejala serta elakkan kawasan yang sesak.

1 Comment