IMM13 sebagai dokumen tunggal warga asing sama bahaya PSS yang ditolak rakyat Sabah- Anifah
10:07 Jul 14, 2020  |  By SabahKini2
IMM13 sebagai dokumen tunggal warga asing sama bahaya PSS yang ditolak rakyat Sabah- Anifah

'Stateless children', kewarganegaraan, IMM13 adalah isu sensitif di negeri Sabah. Sama ada PSS atau IMM13 sebagai dokumen tunggal warga asing ia tetap sama bahaya. Warisan kalah PRK kerana PSS. Jadi belajar atas kesilapan itu

Kenyataan media mengenai Isu 'stateless children' dan kewarganegaraan

1. Saya ucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Hamzah Zainudin Menteri Dalam Negeri dan ahli-Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak yang membahaskan isu kewarganegaraan dan 'stateless children' atau anak-anak tanpa kad pengenalan hari ini.

2. Saya juga memuji ketegasan Menteri Dalam Negeri tidak akan memberikan kewarganegaraan dengan mudah, termasuk anak-anak tanpa kad pengenalan. Tidak ada seseorang boleh memperoleh kewarganegaraan secara automatik. Semua nya tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 serta perundangan berkaitan.

3. Isu kewarganegaraan adalah isu sensitif di negeri Sabah, awal Januari lalu terdapat usaha Kerajaan Negeri pimpinan Warisan PH dan UPKO untuk mewujudkan dokumen baru iaitu Pas Sementara Sabah (PSS) kepada 136,055 pemegang dokumen itu, iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.

4. Kesannya isu PSS menyebabkan parti pemerintah Warisan tewas dalam PRK Kimanis apabila rakyat menolak cadangan itu.

5. Kerajaan Perikatan Nasional harus berhati-hati dan belajar daripada kegagalan Datuk Seri Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah dan parti Warisan melaksanakan PSS. Idea menggunakan dokumen IMM13 sebagai dokumen tunggal untuk pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil banci adalah langkah yang tiada bezanya dengan PSS.

6. Apa perlunya mengiktiraf pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil banci ke dalam IMM13? Kerajaan tidak boleh 'menghalalkan’ pemegang Sijil Banci dan Kad Burung-Burung untuk menerima IMM13, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

7. Sekalipun kerajaan digesa mempertimbangkannya atas faktor kemanusiaan dalam isu ‘stateless children’ kerajaan tidak boleh menggadai nasib rakyat Sabah tulen.

DATO’ SRI ANIFAH AMAN
14 Julai 2020

15 Comments