Malaysia henti bayaran 'Cession Money' RM5300 kepada waris Kesultanan Sulu
21:07 Jul 22, 2020  |  By SabahKini2
Malaysia henti bayaran 'Cession Money' RM5300 kepada waris Kesultanan Sulu

Tiada lagi pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013.'Cession money' hanyalah wang ehsan atau sagu hati bukannya yuran pajakan atau penyewaan.

Malaysia sudah menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun melalui peguam yang mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu sejak 2013 lagi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pembayaran itu dibuat berdasarkan Perjanjian 22 Januari 1878 antara Sultan Sulu, Sultan Jamal Al Alam dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British.

Selain pembayaran wang serahan kepada waris Kesultanan Sulu itu, Malaysia juga tidak pernah membuat sebarang pembayaran kepada kerajaan Filipina, katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman web Parlimen bagi menjawab soalan Chang Foon Hin (PH-Kota Kinabalu) hari ini.

Chang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menghentikan pembayaran wang pajakan RM5,300 kepada Kesultanan Sulu melalui Kerajaan Filipina sebagai langkah menamatkan terus campur tangan luar terhadap kedaulatan Malaysia dan menggunakan wang itu bagi menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin Filipina ke Sabah.
 
Hishammuddin berkata Malaysia juga tidak mengiktiraf dan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah memandangkan negeri itu telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak 16 Sept 1963.

Menurutnya Malaysia dan Filipina mempunyai persefahaman bahawa isu tuntutan Sabah tidak akan dibangkitkan di mana-mana platform rantau atau antarabangsa.

"Sehingga kini, tuntutan ke atas Sabah hanya pernah dikemukakan oleh pihak yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu," katanya.
 
Untuk rekod pembayaran wang serahan (cession money) sebanyak RM 5,300 setahun kepada peguam yang mewakili sembilan orang waris Kesultanan Sulu merupakan komitmen terhadap keputusan kehakiman Macaskie pada tahun 1939. Dalam keputusan oleh Hakim C.F. Macaskie, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo pada 18 Disember 1939, sembilan (9) individu telah diberikan hak terhadap wang serahan tersebut termasuk tiga anak saudara yang dinyatakan dalam wasiat tersebut. Walau bagaimanapun, harus ditekankan bahawa bayaran wang serahan 3 tersebut adalah sebagai cession money iaitu bayaran ehsan atau sagu hati penyerahan hak milik Sabah dan bukannya yuran pajakan atau penyewaan.


3 Comments