58 Keluarga Terjejas Kebakaran Terima Bantuan DUN Sekong
17:01 Jan 01, 2018  |  By SabahKini2
58 Keluarga Terjejas Kebakaran Terima Bantuan DUN Sekong

Kredit gambar: SayangSabah

Bantuan bernilai RM40,600 yang disalurkan kepada mangsa terjejas itu merupakan sebahagian daripada peruntukan DUN Sekong pada tahun ini.

SANDAKAN, 30 Dis- Kehidupan 58 keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi di sini pada 22 Okt lepas mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsuddin Yahya yang menyalurkan bantuan kepada mangsa dalam program sentuhan kasih DUN Sekong, hari ini.

Bantuan bernilai RM40,600 yang disalurkan kepada mangsa terjejas itu merupakan sebahagian daripada peruntukan DUN Sekong pada tahun ini.

Samsuddin ketika ditemui pemberita berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM11,600 diberikan kepada 58 ketua keluarga dan RM10,100 bantuan persekolahan untuk anak-anak mangsa manakala RM18,900 untuk mangsa isi rumah.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak untuk meringankan beban mangsa kebakaran.

"Diharapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahidan Kassim dapat mengenal pasti keperluan bantuan yang perlu disalurkan kepada mangsa kebakaran," katanya.

Pada program itu, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Pertubuhan Chee Siang Khor Sandakan turut menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas termasuk beras.

Dalam pada itu, Samsuddin mengingatkan masyarakat di Batu Sapi agar peka terhadap sebarang penggunaan peralatan elektrik atau ketika memasak bagi menghindari berlakunya bencana kebakaran.

-- BERNAMA

 

3 Comments