Konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara dilanjutkan- Ronald Kiandee
16:08 Aug 04, 2020  |  By SabahKini2
Konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara dilanjutkan- Ronald Kiandee

6 perkara dipertimbang kerajaan memuktamadkan perjanjian baru antaranya menilai prestasi Bernas melaksanakan konsesi terdahulu, mengkaji aspek perundangan dan perjanjian kedua pihak

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee.

Beliau berkata, kerajaan dalam proses memuktamadkan syarat dan tempoh lanjutan konsesi Bernas yang akan tamat Januari tahun depan.

Katanya, perbincangan di peringkat ini untuk menjaga kepentingan semua pihak, termasuk pengguna, industri dan keselamatan makanan negara.

“Apatah lagi (penularan) Covid akan menjadikan rantaian makanan global terganggu.

“Menimbang semua perkara ini, sebab itu kerajaan memutuskan untuk melanjutkan konsep ‘single gatekeeper’ ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu mengenai kontrak Bernas itu dan berkata, ia patut dibuka kepada syarikat lain supaya harga beras kekal berdaya saing.

Katanya, terdapat 6 perkara yang dipertimbangkan kerajaan dalam memuktamadkan perjanjian baru itu, antaranya menilai prestasi Bernas dalam melaksanakan konsesi terdahulu dan mengkaji aspek perundangan, termasuk perjanjian lain yang ditandatangani Bernas dan kerajaan.

“Ke-3, mengkaji implikasi kos dan keupayaan kerajaan kerana kos pelaburan tinggi diperlukan dalam menguruskan industri padi dan beras.

“Ke-4, mengkaji keberkesanan dasar ‘single gatekeeper’, ke-5 ialah memastikan pelaksanaan obligasi sosial lebih berkesan, termasuk menambah jumlah simpanan stok beras negara bagi tujuan keselamatan makanan negara dan ke-6, mewujudkan badan penilai bagi memantau pelaksanaan obligasi sosial Bernas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kiandee berkata, dasar pengimport tunggal beras diperkenalkan pada 1973 untuk menjamin keselamatan makanan negara akibat krisis harga beras tahun itu susulan kebimbangan pengimport mengalami kerugian dan enggan mengimport beras ke Malaysia.

Katanya, Malaysia menghadapi krisis bekalan beras amat kritikal ketika itu, tetapi krisis itu tidak berulang sehingga kini sejak dasar itu dilaksanakan.

Difahamkan, terma perjanjian baru akan mengambil kira naik turun harga beras antarabangsa.

Terdahulu, Kiandee berkata, sektor pertanian mengambil kira-kira 140,000 atau 7.3% pekerja asing daripada keseluruhan pekerja dengan permit kerja di Malaysia.

Katanya, jumlah pekerja asing dalam sektor itu lebih kecil daripada sektor lain.

Beliau berkata, usaha sedang dilakukan untuk menarik belia menyertai sektor pertanian.-fmt

1 Comment