PRN: Parti Cinta Sabah akan bertanding lebih 37 kerusi
21:08 Aug 07, 2020  |  By SabahKini2
PRN: Parti Cinta Sabah akan bertanding lebih 37 kerusi

Parti yang kini diterajui bekas Menteri Luar Anifah Aman itu, bakal bertanding di lebih 37 kerusi iaitu lebih separuh daripada 73 kerusi yang akan dipertandingkan.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Wilfred Bumburing hari ini mendedahkan, parti itu akan bertanding bagi menubuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini bermakna, parti yang kini diterajui bekas Menteri Luar Anifah Aman itu, bakal bertanding di lebih 37 kerusi iaitu lebih separuh daripada 73 kerusi yang akan dipertandingkan.

Bumburing berkata, senarai calon sudah diterima namun ia hanya akan dimuktamadkan kemudian.

Katanya, pengumuman calon dan kerusi ditandingi akan dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai PRN.

“Perkara ini (jumlah kerusi ditandingi) akan diumumkan oleh presiden (Anifah), tetapi apa yang saya boleh bagi tahu kita mahu membentuk kerajaan negeri.

“Parti kini menerima sambutan yang baik daripada orang ramai sehinggakan borang keahlian ‘original’ juga habis dan kami terpaksa membuat salinan.

“Bangsa Sabah ini, mereka sudah menyampah dengan Warisan namun tiada hala tuju dan sebelum PCS dijenamakan semula, mereka tidak tahu mahu ke mana dan oleh itu selepas parti ini dijenamakan semula, ia mendapat sambutan luar biasa,” katanya dalam sidang media di Kolombong hari ini.

Bumburing berkata, parti itu mendapat sambutan kerana ia satu-satunya parti berbilang kaum yang mempunyai matlamat jelas untuk menubuhkan kerajaan.

“Jika kita lihat STAR, berapa kerusi mereka mahu tanding? Begitu juga dengan PBS (Parti Bersatu Sabah) walaupun memiliki lebih 40 bahagian tapi kita tengok keputusan mereka baru-baru ini, tengok keputusan di Batu Sapi dan 1 lagi parti iaitu Upko, mereka hanya ada berapa kerusi?

“Kenyataan Joniston (Bangkuai) baru-baru ini juga menyatakan PBS akan bertanding untuk menjadi rakan kongsi dominan, tapi bagi PCS kita akan bertanding untuk menjadi kerajaan.

“PCS mempunyai pemimpin yang sangat berpengalaman dan pernah memegang jawatan sebagai menteri luar selama 9 tahun dan beliau (Anifah) juga sentiasa konsisten dalam memperjuangkan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), ini kita boleh lihat sejak beliau berada dalam kerajaan lagi apabila memanggil pemimpin pembangkang ketika itu untuk membincangkan mengenai MA63,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PCS suah bertemu atau sedia bekerjasama dengan mana-mana parti pada PRN nanti, Bumburing berkata ia belum diputuskan.

“Memanglah kalau pemimpin politik berjumpa, minum kopi itu perkara biasa tapi setakat ini kami belum putuskan perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Bumburing berkata, walaupun PCS parti berbilang kaum yang berasaskan Sabah namun mereka bukan anti Melayu.

“Parti ini hanya anti polisi Umno dan bukan anti Melayu,” katanya.

Terdahulu, Bumburing turut menerima borang kemasukan menjadi ahli PCS oleh Ketua Penyelaras Parti Putra Sabah, Rekan Hussien.

Rekan dalam sidang media itu turut mendakwa kira-kira 500 ahli termasuk pimpinan tertinggi parti itu di Sabah mengikut jejaknya menyertai PCS.- FMT

13 Comments