Kes Rasuah Terowong: Lim Guan Eng didakwa lagi minta suapan RM3.3 juta
15:08 Aug 10, 2020  |  By SabahKini2
Kes Rasuah Terowong: Lim Guan Eng didakwa lagi minta suapan RM3.3 juta

LGE sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,

BUTTERWORTH- Susulan kontroversi projek terowong dasar laut yang menjadi perhatian sejak beberapa tahun lalu, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini didakwa lagi atas pertuduhan rasuah membabitkan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Kali ini bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Jumaat lepas Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

[ARTIKEL BERKAITAN- Guan Eng didakwa kes terowong, Isterinya Betty, Phang Li Koon Pengarah Excel Property pula kes AMLA ]

Hari ini Lim, 60, turut membuat pengakuan tidak bersalah. 

Minta rasuah RM3.3 juta

Mengikut pertuduhan Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702. 

Zarul merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang turut pernah direman SPRM pada awal januari 2018.

Sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid, Lim yang memakai sut  hitam berkata "tidak bersalah".

Mahkamah membenarkan Lim diikat jamin mengguna pakai wang sama RM1 juta dalam kesnya  di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim itu turut mengarahkan kes Lim di Pulau Pinang dibicarakan bersama dengan kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen  Kuala Lumpur selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib untuk memindahkan kes itu di Kuala Lumpur dan dibicarakan bersama kerana ia melibatkan transaksi sama.

Terdahulu, Ahmad Akram dalam permohonannya berkata tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu dan pertuduhan tersebut berkait rapat  dengan pertuduhan yang dihadapi Lim hari ini.

"Kedua-dua kesalahan  yang dipertuduhkan adalah berlaku dalam satu transaksi yang sama. Bagi pertuduhan di bawah  Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM yang telah didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tujuan suapan diminta adalah sebagai  upah melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu meluluskan syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

"Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan di hadapan Yang Arif Tuan hari ini, kesalahan tersebut dikatakan dilakukan secara dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek  Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702," katanya.

Ahmad Akram berkata faktor paling ketara adalah kedua-dua pertuduhan terbabit melibatkan saksi utama iaitu Zarul dan kedua-duanya juga melibatkan perkara sama iaitu Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim membantah permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes  itu ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau berkata pertuduhan ke atas anak guamnya hari ini adalah cukup  jelas menunjukkan satu pertuduhan yang luas.

"Tidak ada sebarang maklumat diberikan dan berlaku di mana dan bila. Apa yang jelas semuanya berlaku di pejabat  ketua menteri di Komtar. Di dalam pertuduhan juga disebut jumlah suapan RM3.3 juta, langsung tidak disebut siapa saksi terlibat," katanya.

Dalam prosiding itu juga, Ahmad Akram turut memohon kepada  mahkamah supaya mengeluarkan perintah bagi menghalang pihak-pihak untuk membuat penyataan yang subjudis terhadap kes itu.

Beliau berkata terdapat dua artikel yang dikeluarkan (dua portal)  berhubung isu pertuduhan terbabit yang dilihat telah cross the line dan membawa kepada merit kes.

"Saya tidak pernah meminta agar tidak bagi sesiapa membuat apa-apa kenyataan, buatlah kenyataan, tetapi  jangan kenyataan yang subjudis pada perbicaraan yang belum berlangsung," katanya.

Ahmad Akram turut menunjukkan kepada mahkamah dua artikel yang dikeluarkan oleh dua portal yang memuatkan kenyataan daripada Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Tony Pua dan Pengarah Pendidikan DAP, Liew Chin Tong berhubung kes yang dihadapi Lim.

Gobind yang membantah permohonan itu berkata semua pihak mempunyai hak kebebasan bersuara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tegaskan kita seharusnya diberi ruang untuk menyatakan pendirian kita, beliau (Lim) dulunya pemimpin di Pulau Pinang sudah semestinya media akan bertanya, takkan dia hendak berdiam diri,” katanya.

Hakim Ahmad Azhari tidak mengeluarkan sebarang perintah tersebut dan menyerahkan kepada pihak-pihak  terlibat dengan menyatakan sekiranya terdapat aduan pihak terlibat boleh membuat aduan atau mengambil apa-apa tindakan  undang-undang.

Jumaat lepas ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa  Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kepada mahkamah memberikan amaran supaya semua pihak tidak membuat komen yang boleh menjadi subjudis dan mahkamah itu mengingatkan kedua-dua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang akan subjudis kepada kes itu.

Sejak awal pagi perkarangan mahkamah penuh sesak dengan pemberita dan jurugambar yang menunggu di pintu masuk bagi membuat liputan kes tersebut.

Berikutan kes COVID-19, hanya empat pemberita dibenarkan masuk ke dalam bilik perbicaraan mahkamah dan enam yang lain hanya dibenar menunggu di lobi mahkamah.

Esok, Lim dijangka akan dituduh di mahkamah sama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Selain Lim, isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon juga dijangka akan dihadapkan di mahkamah tersebut.

Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran, bagaimanapun pada 3 Sept 2018, mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan itu.

 

1 Comment