PRN Sabah: Bung Moktar ketuai jentera BN
09:08 Aug 18, 2020  |  By SabahKini2
PRN Sabah: Bung Moktar ketuai jentera BN

Keputusan juga diserahkan untuk memilih ketua menteri dalam kalangan Adun apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baru

Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dilantik mengetuai jentera pilihan raya gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.

Ia diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil menambah bahawa gabungan berkenaan di Sabah akan diberikan kuasa penuh untuk mengadakan rundingan berkenaan pembahagian terhadap 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti-parti politik di sana.

“YB Datuk Seri Bung Moktar Radin, selaku Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi UMNO Sabah untuk mengetuai jentera BN Sabah dan UMNO Sabah bagi menghadapi PRN Sabah.

“Keputusan juga diserahkan untuk memilih ketua menteri dalam kalangan Adun apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baru,” 

“Mengadakan rundingan untuk pembahagian kerusi bersama-sama dengan parti-parti politik di Sabah,” katanya memetik kenyataan tersebut.

Ujarnya, pemberian kuasa autonomi itu selaras dengan apa yang dicapai Umno semasa mengadakan Perhimpunan Agungnya pada tahun lalu.

“Justeru, untuk merealisasikannya, saya selaku pengerusi BN dan presiden Umno dengan ini menyerahkan kepada seluruh jajaran kepimpinan BN dan Umno Sabah menggunakan kebijaksanaan dan strategi untuk menterjemahkan kuasa autonomi yang diberikan,” kata Zahid.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 26 September sebagai hari mengundi untuk PRN Sabah.

PRN Sabah diadakan berikutan kemelut politik membabitkan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan penyandangnya, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada penghujung Julai lalu selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

9 Comments