Hormat, Iktiraf budaya berbeza kunci perpaduan kaum kata Tok Mat
01:08 Aug 31, 2020  |  By SabahKini2
Hormat, Iktiraf budaya berbeza kunci perpaduan kaum kata Tok Mat

Dicelah kontroversi kenyataan berkaitan agama, Tok Mat menyeru agar menghormati dan mengiktiraf budaya agama berbeza bagi mengelakkan isu kaum.

Dicelah-celah kontroversi terbaru ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh perdebatan akademik isu arak dan agama mengundang reaksi pelbagai terutamanya daripada pemimpin politik di Sabah dan Sarawak.

Rabu lalu, Zawawi yang juga ketua ulama PAS dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Zawawi bagaimanapun bertegas “sebelum kitab Injil dipesongkan”, agama Kristian tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.

Sekalipun komparatif agama adalah isu yang biasa didebatkan oleh para ilmuan dan ahli akademik seperti Zakir Naik, Sulaiman Dedat dan pelbagai lagi namun hujah bagi orang politik bagi isu agama akan dianggap sebagai penghinaan agama dan tidak menghormati budaya bangsa lain selain tidak bersesuaian di negara ini.

Kenyataan Zawawi itu sudah tentu dianggap kasar dan dilihat ekstrem. Oleh itu ahli politik sempena Pilihanraya ini akan menggunakan sepenuhnya isu-isu ini.

Kenyataan Tok Mat

Bagi meredakan ketegangan sedia ada sempena menyambut kemerdekaan ke 63, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam satu kenyataan berkata rakyat menolak ideologi ekstrem sebaliknya mengamalkan sikap bertoleransi dan mengiktiraf perbezaan budaya serta agama sebagai resepi utama mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, kemerdekaan negara tidak dikecapi melalui konflik persenjataan atau pertumpahan darah berpanjangan, tetapi ditebus dan diisi dengan semangat permuafakatan tulen.

“Muafakat Malaysia bukannya ‘win some, lose some’, tapi ‘everyone win and no one lose’. Jika tidak, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

“Muafakat Malaysia tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang. Kesetiaan pada tanah air adalah kualiti yang lahir dari hati. Ini bukan tugas mudah, ia adalah perjalanan yang payah, tetapi ini sahajalah satu-satunya jalan untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adun Rantau itu yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, rakyat perlu menolak sepenuhnya fahaman ekstrem, sempit dan bercanggah dengan kepentingan serta perpaduan nasional, selain menerima dan menghormati perbezaan budaya serta agama.

“Akurlah Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk dan kemajmukan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.

“Hiduplah dengan mengamalkan toleransi, tolak ansur dan pendekatan sederhana. Adat bernegara seharusnya matang dan bersusila tinggi.

“Kita mesti belajar berlebih kurang dan berbahagi. Yang lemah dibantu dan diupayakan, yang terbuang dilindungi dan dibela, dan yang buntu dipimpin dengan jalan keluar cerah.”

Katanya, tiada keamanan tanpa tolak ansur, tiada kesejahteraan tanpa toleransi tinggi dan tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan sederhana.

“Marilah kita memperbaharui azam kita dalam bulan kemerdekaan ini untuk mengukuhkan muafakat Malaysia demi tanah air tercinta.

“Sempena peristiwa besar ini, marilah kita mengukuhkan kesepaduan nasional kita. Jangan sesekali kita membiarkan kesepaduan kita, sebagai sebuah negara dan bangsa, merapuh dan meluntur. Kita mesti hidup bersama dengan aman dan sejahtera, sekalipun dikelilingi seribu satu perbezaan dan kelainan.”

 

3 Comments