MAFI salur pelbagai insentif rancakkan sektor pertanian- Kiandee
18:09 Sep 05, 2020  |  By SabahKini2
MAFI salur pelbagai insentif rancakkan sektor pertanian- Kiandee

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata antara insentif itu ialah Program Agropreneur Muda Fasa 2/2020 yang melibatkan 344 penerima Geran Agroprenuer Muda bernilai RM6.67 juta.

KOTA KINABALU: Pelbagai insentif disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk merancakkan pertumbuhan sektor-sektor di bawah kementerian itu dalam usaha membantu rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata antara insentif itu ialah Program Agropreneur Muda Fasa 2/2020 yang melibatkan 344 penerima Geran Agroprenuer Muda bernilai RM6.67 juta.

"Daripada jumlah itu, seramai 29 penerima geran adalah dari Sabah dengan nilai geran berjumlah RM563,400 sebagai bantuan untuk meningkatkan pengeluaran hasil selain menambah pendapatan agroprenuer muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian MAHA2020 #Sabah bagi mempromosikan MAHA2020 yang akan diadakan di MAEPS Serdang pada 26-29 Nov ini.

Kiandee berkata Jabatan Pertanian juga membangunkan program pengukuhan skim amalan pertanian baik (MYGAP) & MYORGANIK dengan membina sebuah pusat kitar semula bekas racun primer dan sembilan buah pusat pengumpulan bekas racun kecil di Sabah bernilai RM37,000.

Beliau berkata bagi membantu golongan B40 pula, tanah seluas sembilan hektar di kawasan pembangunan pertanian bersepadu (IADA) diperuntukkan bagi projek tanaman kontan dengan penglibatan 46 petani dari 11 buah kampung di Kota Belud melibatkan kos sebanyak RM170,000.

"Bantuan elaun sara hidup nelayan di Sabah turut disalurkan kepada 6,096 penerima berjumlah RM8.7 juta," katanya.

Selain itu, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Agrobank juga akan menawarkan pembiayaan mikro kepada Perusahaan Kecil Sederhana bagi negeri Sabah berjumlah RM38.66 juta," katanya.

Pada majlis itu, Kiandee turut melancarkan dan memperkenalkan jus buah bambangan yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Beliau berkata kementerian akan membantu mempromosikan jus itu yang merupakan antara buah yang popular di Sabah. - Bernama.

 

Comment