Projek Empangan Papar, Kerajaan Warisan Plus perdaya tipu kita- Anifah
04:09 Sep 20, 2020  |  By SabahKini2
Projek Empangan Papar, Kerajaan Warisan Plus perdaya tipu kita- Anifah

Rakyat Sabah perlu sedar. Kita dah diperdaya dan ditipu oleh Kerajaan Warisan dalam isu ini," kata Presiden parti, Datuk Seri Panglima Anifah Aman.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Warisan telah memperdayakan rakyat Sabah berkaitan isu projek Empangan Papar, kata Datuk Seri Panglima Anifah Aman, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).

PCS menyatakan bahawa keputusan mereka untuk meneruskan projek Empangan Papar yang penuh kontroversi, meskipun menerima tentangan hebat oleh komuniti dan kumpulan alam sekitar menunjukkan mereka langsung tidak mempunyai komitmen terhadap pemuliharaan seperti apa yang mereka banggakan sebelum ini.

"Rakyat Sabah perlu sedar. Kita dah diperdaya dan ditipu oleh Kerajaan Warisan dalam isu ini," kata Presiden parti, Datuk Seri Panglima Anifah Aman.

Beliau menambah bahawa orang Sabah masih ingat bagaimana Warisan dan sekutunya seolah-olah menentang Empangan Kaiduan, hanya untuk kemudiannya memindahkan projek tersebut dari Penampang ke Papar dan menamakannya sebagai Empangan Papar setelah mereka berkuasa.

Beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan yang diketuai Warisan telah menunjukkan belang sebenar mereka yang tidak prihatin kepada keluhan dan penderitaan rakyat.

"Kerajaan yang tidak mendengar keluhan rakyat bukanlah kerajaan untuk rakyat mahupun kerajaan oleh rakyat. Mereka tidak patut sama sekali diberikan peluang sekali lagi memegang tampuk pemerintahan, ia merbahaya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Ketua Menteri Interim yang juga presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini mengumumkan bahawa projek kontroversi Empangan Papar bernilai RM3 bilion akan diteruskan. Projek Empangan Papar akan dibina di Mondoringin.

Projek penuh kontroversi ini telah menerima tentangan daripada komuniti dan banyak kumpulan alam sekitar. NGO-NGO komuniti telah meluahkan perasan berang dan kecewa dengan Warisan kerana memungkiri janji pilihan raya mereka untuk membatalkan projek empangan Kaiduan di Papar yang mengancam akan memindahkan ribuan penduduk kampung dari tanah pusaka mereka.

Satu daripada NGO tersebut, Task Force Against Kaiduan Dam (TAKAD), menyatakan bahawa kerajaan negeri Warisan bukannya bertindak untuk membatalkan projek mega tersebut, sebaliknya hanya "menukar nama" daripada empangan Kaiduan kepada empangan Papar, dan meningkatkan kos daripada RM2 bilion kepada RM3 bilion.

Menurut PCS, rakyat nampaknya telah ditipu dan dibohongi oleh Warisan dan sekutu mereka.

"Rakyat tidak akan memaafkan mereka tentang perkara ini," kata Anifah.

PCS menambah bahawa ironinya adalah Shafie malah menebalkan muka mendakwa bahawa Kerajaan pimpinan Warisan memberi fokus kepada isu alam sekitar sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018. Shafie berkata demikian ketika menjawab panggilan WWF-Malaysia bagi parti-parti politik untuk menyertakan komitmen alam sekitar dalam manifesto mereka untuk pilihan raya negeri akan datang.

"Sesiapa yang berfikiran waras tidak akan mempercayai beliau, Warisan mahupun sekutu mereka. Di satu sudut, mereka sanggup meneruskan projek mega yang mana komuniti, kumpulan dan pakar alam sekitar telah beri amaran akan merosakkan persekitaran, tanah pusaka dan komuniti. Di sudut lagi satu, mereka dakwa bahawa mereka telah fokus kepada isu-isu alam sekitar sejak memerintah pada 2018. Meskipun ditentang hebat, mereka enggan mendengar suara dan keluhan rakyat."

"Hanya penipu dan pembohong sanggup buat perkara sebegini," kata PCS, yang menambah bahawa lebih banyak penipuan kerajaan negeri pimpinan Warisan akan didedahkan tak lama lagi.

Sementara itu, Anifah berjanji bahawa Kerajaan di bawah Parti Cinta Sabah (PCS) akan meneroka secara serius alternatif lain kepada Empangan Papar mega yang lebih mampan.

"PCS menerapkan prinsip pembangunan lestari dan akan mendengar semua pihak yang berkepentingan. Kami yakin ada alternatif dan kami akan mencari yang terbaik yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran dalam jangka masa panjang. Kami tidak akan mencari jalan pintas," kata mantan Menteri Luar Negeri itu.

Beliau menegaskan bahawa amat tidak bijak untuk mana-mana kerajaan untuk meneruskan juga projek apabila terdapat bantahan kuat daripada rakyat. Beliau berkata hakikat bahawa Warisan Plus telah mengabaikan bantahan kuat daripada masyarakat, kumpulan alam sekitar dan pakar hanya menunjukkan bahawa mereka tidak layak untuk mentadbir.

"Kita faham bahawa Sabah perlu mempunyai bekalan air yang lestari. Ia penting untuk pembangunan. Tetapi adakah membina empangan mega perkara yang betul untuk dilakukan? Ada sebab yang sahih kenapa ramai yang membantah. Mengapa Warisan Plus abaikan? Adakah sesuatu yang kita tidak tahu? " tanya beliau.

Ahli geologi UMS, Dr Felix Tongkul menyuarakan ketidaksetujuan dengan pelan untuk meneruskan projek tersebut, dan mengatakan bahawa negeri ini tidak perlu meminjam berbilion-bilion ringgit untuk membina sebuah empangan apabila takungan pengambilan air langsung akan berfungsi sebagai penyelesaian yang lebih murah dan praktikal.

Mantan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony mengatakan bahawa kerajaan negeri boleh meminjam dari Putrajaya untuk membina empangan atau mempertimbangkan usaha swasta-awam untuk mengumpul dana.

Beliau juga dipetik berkata bahawa jika terdapat penduduk kampung yang bakal terbabit, kerajaan akan "memindahkan mereka dan memberikan mereka insentif."

Kenyataan beliau dan kesungguhan Warisan Plus untuk meneruskan projek tersebut telah mengecewakan dan mencetuskan keberangan pelbagai kumpulan di dalam Taskforce Against Kaiduan Dam (TAKAD) yang mengatakan bahawa projek mega tersebut, yang merangkumi empat kampung di Papar dan sembilan yang lain di Penampang, akan memusnahkan cara hidup lebih dari 3,000 penduduk kampung.

Jurucakap mereka, Diana Sipail, dilaporkan telah menyatakan bahawa Shafie telah melanggar janji pilihan raya Warisan sebelum ini untuk memansuhkan projek itu sepenuhnya.

Dia juga menyifatkan pernyataan Shafie sebagai "sombong dan tidak konsisten dengan janji-janji yang dibuat oleh pihaknya yang bertanding di kawasan-kawasan yang terjejas oleh projek itu."

Sebuah parti tempatan, SAPP, malah mempersoalkan cara tergesa-gesa di belakang tabir untuk meluluskan empangan Papar tanpa Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan pelantikan kontraktor China yang berkaitan dengan terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Parti itu mengatakan bahawa pengumuman Shafie bahawa projek itu akan berjalan seperti yang dirancang telah mengaibkan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Warisan Penampang, Datuk Darell Leiking dan mantan ADUN Moyog dan Kapayan, Jennifer dan Jannie Lasimbang, yang keduanya bersama-sama dengan adik mereka Senator Adrian, sangat lantang menentang projek empangan tersebut.

Berkaitan perkara ini, Anifah berkata kerajaan negeri PCS akan sentiasa mengamalkan ketelusan dalam menangani isu kontroversi ini.

"Sekiranya, setelah berunding dengan semua pihak yang berkepentingan dan mengkaji saranan dari suruhanjaya bebas, kami yakin bahawa projek Empangan Papar tidak membawa manfaat nyata bagi rakyat dalam jangka masa panjang sebaliknya hanya menguntungkan beberapa kontraktor, maka kita akan membatalkan projek itu."

"Kami adalah Kerajaan yang mendengar dan sentiasa memastikan keluhan rakyat didengari. Kita tak akan langgar dan buat sesuka hati seperti Warisan Plus. Kita akan dengar kepada pakar dan komuniti yang mana tanah pusaka mereka akan hilang jika projek ini diteruskan," kata beliau.

[ARTIKEL BERKAITAN- Empangan Papar tetap dibina ,Kerajaan Warisan lawan rakyat yang menentangnya ]

 

7 Comments