COVID-19: Makmal molekul di Tawau - Dr Adham
17:09 Sep 24, 2020  |  By SabahKini2
COVID-19: Makmal molekul di Tawau - Dr Adham

Kementerian sedang bersiap sedia mewujudkan satu Makmal Molekular di Tawau yang akan mempercepatkan keputusan ujian diperoleh.

TAWAU: Kementerian Kesihatan akan membangunkan Makmal Molekul di Tawau bagi mempercepatkan proses ujian COVID-19 berikutan peningkatan mendadak wabak itu di empat daerah di Pantai Timur di sini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adam Baba berkata, kewujudan makmal itu sangat penting sebagai kesiapsiagaan untuk melakukan ujian swab dengan kadar segera.

Beliau berkata, setakat ini Kementerian Kesihatan sedang mengambil ujian swab tapi dihantar ke Makmal DGi di Kota Kinabalu yang mampu memproses 1,000 kes setiap hari selain makmal kesihatan awam di Hospital Queen Elizabeth, dan makmal Universiti Malaysia Sabah.

"Kementerian sedang bersiap sedia mewujudkan satu Makmal Molekular di Tawau yang akan mempercepatkan keputusan ujian diperoleh.

"Dalam keadaan tertentu jika kita nak jalankan saringan dalam jumlah yang ramai, pilihan yang ada selain makmal di Kota Kinabalu adalah membangunkan makmal molekul baru di sini seberapa segera yang boleh," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, setakat ini kes-kes ujian swab dijalankan turut hantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Semenanjung selain di Kota Kinabalu untuk memastikan keputusan yang tepat diperoleh.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian sudah menjalankan saringan terhadap 10,389 orang membabitkan Kluster Benteng di Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

"Menerusi saringan itu, kementerian itu dapat mengesan kes baharu yang didapati positif COVID-19 selain kluster yang baharu timbul.

"Antaranya di Semporna, iaitu Kluster Bakau, dengan empat kes, (181 orang telah disaring); Kluster Selamat, 25 kes (320 disaring); Kluster Bangau-Bangau, 13 kes (105 disaring); Kluster Pulau, 37 kes (731 disaring) dan Kluster Udin di Tawau, 3 kes, (128 disaring).

"Aktiviti saringan terhadap komuniti sudah dilaksanakan kerana jangkitan ke kawasan komuniti selain di penjara dan lokap," katanya yang menyasarkan 30,000 saringan di Tawau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, kementerian juga sentiasa meningkatkan kesiapsagaan terutamanya dalam merawat pesakit COVID-19 yang kini berada di hospital selain menempatkan pesakit dibawah pengawasan (PUI) di pusat kuarantin yang digazetkan.-BH

Comment